Penguatkuasa agama tahan Kassim Ahmad

imageKULIM – “Semua pejabat agama yang ada tak boleh pakai. Saya ajar Islam yang sebenar dan bagi saya jawab sendiri dengan ALLAH. Waran tangkap semua ni mengarut sahaja. Pergi balik!”

Itulah antara kata-kata dikeluarkan oleh sasterawan dan pemikir Dr Kassim Ahmad ketika pegawai penguatkuasa Pejabat Agama Daerah Kulim Kedah (PADK) menahan beliau di rumahnya di Kulim Golf & Country Resort kira-kira jam 2.30 petang tadi.

Ketua Penguatkuasa PADK, Azmi Rejab berkata, sebaik diarahkan untuk melaksanakan waran tangkap ke atas Kassim, pihaknya ke kediaman sasterawan itu kira-kira jam 12 tengah hari, namun tiada sesiapa di rumah ketika itu.

“Hanya kira-kira jam 2 petang, Kassim pulang bersama seorang rakan menaiki kereta. Apabila pegawai penguatkuasa agama memperkenalkan diri dan memaklumkan tujuan mereka ke situ, Kassim enggan memberi kerjasama sebaliknya menyuruh mereka balik.

“Keadaan menjadi semakin tegang apabila beliau mula bertindak agresif dan tidak mahu dirinya dipegang atau masuk ke dalam van PADK,” katanya.

Azmi kemudiannya memaklumkan kepada Kassim bahawa PADK hanya melaksanakan waran tangkap yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan.

Walaupun waran tangkap ditunjukkan, Kassim masih enggan mengikut arahan.

Menurut Azmi, untuk mengelak berlaku sebarang kejadian tidak diingini, PADK telah memaklumkan kejadian itu kepada Balai Polis Kulim Hi–Tech untuk meminta bantuan.

“Dengan bantuan polis, Kassim akhirnya dibawa ke Balai Polis Kulim sebelum dua pegawai PADK mengiringi beliau ke Kuala Lumpur dengan menaiki kapal terbang di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang kira-kira jam 10 malam,” katanya.

Penahanan ke atas Kassim dibuat selepas Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan mengeluarkan waran tangkap terhadapnya atas pertuduhan mengikut Seksyen 9 Akta Kesalahan Jenayah (Wilayah Persekutuan) 1997 iaitu menghina atau mengingkari pihak berkuasa agama.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.