Pengantin Malam: Gandingan terbaharu Farid, Nora

Farid Kamil dan Nora Danish

Farid Kamil dan Nora Danish

KALI terakhir membintangi filem Bencinta, Farid Kamil dan Nora Danish sekali lagi ditampilkan dalam sebuah filem seram terbaharu terbitan Metrowealth, Pengantin Malam di bawah arahan Eira Rahman.

Memegang watak sebagai pasangan suami isteri, ke dua-dua pelakon ini akui tidak lagi kekok menghidupkan karakter masing-masing memandangkan ini bukanlah kali pertama mereka digandingkan.

Mengulas lanjut mengenai pembabitannya dalam filem tersebut, Farid yang memegang watak sebagai Razif berpendapat Pengantin Malam memiliki kekuatan tersendiri untuk menarik penonton.

“Kali pertama ditawarkan watak ini, perkara pertama yang bermain di fikiran saya adakah ia sebuah cerita seram yang klise.

“Tapi bila sudah terlibat dengan penggambaran, saya mulai rasa pendekatan berbeza yang diketengahkan dalam filem ini.

“Secara tidak langsung, saya rasa bertuah kerana terpilih untuk terlibat dalam filem ini bergandingan dengan Nora untuk kali keempat,” katanya ketika ditemui pada sesi fotografi Pengantin Malam bersama media, di Restoran Rebung, baru-baru ini.

Dalam pada itu berkongsi pengalaman menjalani penggambaran filem tersebut, Nora menafikan terdapat sebarang gangguan sepanjang dia terlibat dengan penggambaran di lokasi.

“Alhamdulillah, beberapa kali terlibat cerita seram, saya belum pernah terkena gangguan. “Untuk penggambaran kali ini, semua kru termasuk pengarah dan pelakon solat berjemaah setiap waktu sebagai perlindungan,” jelasnya yang memegang watak sebagai Maya dalam filem tersebut.

Farid bahagia sebagai bapa

Beralih soal peribadinya, Farid turut berkongsi kebahagiaannya sejak bergelar seorang bapa kepada putera sulungnya, Muhammad yang bakal menyambut hari kelahiran pertama tidak lama lagi.

“Saya sangat bahagia. Saya tidak tahu kalau kebahagiaan yang saya rasa ini sama atau melebihi daripada orang lain rasa.

“Apa yang saya boleh katakan, perasaan itu membuatkan saya rasa lapang tanpa ada sempadan dan ia sangat menyentuh hati saya,” ujarnya.

Ditanya sama ada dia menerapkan kehidupan yang mewah terhadap anak sulungnya, suami kepada aktres cantik Diana Danielle ini memiliki cara tersendiri mendidik anaknya menjadi seperti yang diinginkan.

“Memang saya menerapkan kemewahan kepada Muhammad, tapi ia bukanlah dari segi material sematamata.

Sebagai seorang bapa, saya lebih tekankan apa perkara yang perlu untuk masa depannya.

“Saya tidak pernah penuhi impian ibu untuk menjadi seorang tahfiz. Kalau ada rezeki saya mahu bentuk Muhammad jadi seperti yang ibu saya mahukan,” katanya yang juga tidak akan menghalang jika anaknya bakal mengikut jejak langkahnya dan isteri bergelar anak seni.

Nora kecewa dengan peminat

Baru-baru ini, dia dinobatkan sebagai “Artis Paling Popular Di Instagram” apabila jumlah pengikutnya telah lebih 828,000 menewaskan penyanyi popular tanah air, Datuk Siti Nurhaliza.

Tidak pernah menyangka bakal menduduki tahta itu, Nora menerimanya dengan hati yang terbuka.

“Alhamdulillah, saya memang terkejut dengan berita ini sebab saya buka akaun Instagram pun sudah lambat. Tapi dalam masa satu hari saya menerima dua hingga tiga ribu “follow requests”.

“Kenaikan “followers” yang mendadak mungkin kerana tahap kerajinan saya memuat naik gambar,” katanya sambil tertawa.

Namun di sebalik takhta itu, Nora turut akui terdapat risiko yang kini sedang menghimpitnya.

“Sejak akhir-akhir ini terlalu ramai yang gemar memberi komen-komen yang berbaur negatif dan lucah. Lebih menyedihkan komen seperti itu datang daripada remaja-remaja lelaki awal belasan tahun yang bagi saya terlalu biadab berbuat seperti itu.

“Tujuan saya adakan akaun ini untuk berkongsi gambar dengan peminat, tapi tidak sangka pula perkara seperti ini berlaku.

“Saya bukan kecewa dengan apa yang dikatakan tentang saya, tapi saya sedih lihat situasi ini berlaku kepada mereka yang masih muda. Saya ada anak lelaki, kalau boleh saya tidak mahu dia membesar dengan persekitaran
seperti ini,” katanya yang akui telah menyekat lebih kurang lima ribu pengikutnya.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.