Penduduk harus nilai kegagalan Pas tadbir Kedah

YAN – Penduduk kawasan Dun Sungai Limau harus menilai kegagalan Pas ketika mentadbir kerajaan negeri Kedah sebelum memilih calon parti itu sebagai wakil rakyat dalam pilihan raya kecil kawasan itu 4 November ini.

Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek

Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata rakyat Kedah tahu Pas gagal dalam mentadbir negeri itu sepanjang tempoh lima tahun lepas hingga mendorong 60 peratus penyokongnya meninggalkan parti itu dan seterusnya menyaksikan BN kembali menguasai Kedah.

“Dulu sebahagian dari orang (penduduk Dun Sungai Limau) undi Pas (kerana) dia yakin parti itu akan terus perintah negeri Kedah.

“Sekarang orang tengok majoriti rakyat Kedah beralih ketika pilihan raya umum (PRU) yang lepas kerana mereka pernah rasa duduk dalam Pas dan telah menyaksikan banyak janji tak dapat ditunaikan,” katanya semasa berucap di Program Jasa Prihatin anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Padang Lumat dekat sini, hari ini.

Katanya di sinilah pentingnya bagi penduduk Sungai Limau untuk melihat rekod pencapaian yang telah BN kecapi sepanjang menjadi kerajaan Pusat agar masa depan kawasan ini lebih terjamin.

Ahmad Shabery berkata kedudukan dan pencapaian BN sebagai kerajaan pusat dan negeri seharusnya menjadi faktor yang cukup kuat untuk penduduk Sungai Limau memilih BN.

Beliau berkata, kedudukan Pas sebagai parti pembangkang tidak membolehkan mereka untuk menawarkan bantuan yang lebih luas bagi membantu golongan yang memerlukan.

“(Atas sebab ini) saya bersyukur kerana saya boleh bantu (golongan yang memerlukan) sebab saya berada dengan kerajaan BN.

“Orang Pas hanya boleh datang tengok dan kata nak bantu golongan nelayan dan petani di sini. Tetapi dia hanya boleh cakap sedangkan kami (BN) yang akan menghulurkan bantuan,” kata Anggota Parlimen Kemaman, Terengganu itu.

Dalam majlis tersebut, Ahmad Shabery yang diiringi Ketua Pengarah Jasa Datuk Fuad Hassan, menyampaikan bantuan 60 beg sekolah kepada pelajar di Mukim Padang Lumat. – Bernama

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.