Pemuda tak sempat ke rumah ibu

 

Pertembungan kuat dari arah bertentangan menyebabkan mangsa parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Pertembungan kuat dari arah bertentangan menyebabkan mangsa parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

JENGKA – Adik kepada ipar Adun Jengka, Datuk Wan Salman Wan Ismail maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 47.5 Jalan Temerloh-Bandar Jengka dekat Felda Jengka 14, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, mangsa, Mohd Helmie Che Hamid, 26, baharu mendirikan rumah tangga pada tahun lepas dan belum dikurniakan cahaya mata meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Ibu mangsa, Nik Jah Daud, 64, berkata, mangsa yang menetap di Kampung Senggora, Maran memandu sendirian kerana isteri bekerja dan dalam perjalanan menziarahinya di Felda Jengka 15.

Menurutnya, sehari sebelum kejadian (kelmarin), dia bersama suami terlebih dahulu ke Kampung Senggora bagi menziarahi mangsa dan isteri serta bermalam di sana.

“Kelmarin mak cik dan suami ke rumah mereka dan pulang ke Jengka 15 pada jam 10 pagi tadi (semalam).

“Bila sampai di rumah, arwah telefon mak cik dan beritahu dia pula mahu ke Jengka 15 dengan alasan hanya sekadar membalas ziarah.

“Mak cik tidak sangka pagi tadi menjadi pertemuan terakhir kami dan kami sekeluarga reda dengan ketentuan Ilahi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Maran, Pemangku Deputi Superintendan Sulaiman A Hamid berkata, mangsa yang memandu kereta jenis Proton Wira seorang diri dipercayai cuba memotong sebuah kenderaan di hadapan.

Menurutnya, namun kegagalan memotong menyebabkan kereta tersebut bertembung dengan sebuah pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton yang dinaiki lima beranak di laluan bertentangan.

“Tempat kejadian merupakan jalan lurus dua hala dengan garisan tengah putus-putus selain cuaca baik.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Jengka untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga.

“Lima beranak dalam Triton dalam perjalanan dari Felda Jengka 16 ke Bandar Jengka tidak mengalami kecederaan serius,” katanya.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.