Pembinaan jeti baru mudahkan nelayan

BACHOK – Pembinaan jeti baru yang lebih selesa untuk nelayan kecil di sekitar Beris Lalang, memberi harapan baru untuk mereka meneruskan usaha mencari rezeki menyara keluarga.
image[1]
Sebelum ini, nelayan sering berdepan bahaya tergelincir dan terpaksa meranduk lumpur untuk menaikkan hasil tangkapan.

Nelayan, Mohd Udin Yusoff, 59, berkata, dengan pembinaan jeti itu, nelayan boleh menaikkan hasil tangkapan dengan lebih mudah dan selesa, selain menggunakan jeti untuk aktiviti membaiki pukat.

“Saya lega kerana dulu kami terpaksa meranduk lumpur dan pernah jatuh beberapa kali kerana keadaan licin. Dengan adanya jeti ini keadaan lebih selamat dan selesa buat nelayan di sini.

“Jeti ini bukan untuk saya sahaja, tetapi melibatkan 25 nelayan lain yang menyara kira-kira 200 isi rumah di sekitar kawasan ini.

“Penantian kami selama lebih 20 tahun akhirnya berbaloi, terima kasih kerana menyalurkan peruntukan pembinaan ini melalui Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Bachok dan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Bachok,” katanya.

Pembukaan jeti itu dilakukan pada dua minggu lalu dan melibatkan kos RM15,000 oleh Kerajaan Persekutuan, bagi nelayan yang menggerakkan 13 bot di kawasan tersebut.

Seorang lagi nelayan, Faizul Abdul Kadir, 39, berkata, selain kemudahan jeti itu, dia berharap pihak berkenaan menimbangkan bantuan lain yang sewajarnya untuk mereka.

“Pendapatan kami bergantung sepenuhnya dengan hasil laut yang tidak menentu. Jadi saya harap bantuan lain seperti peralatan ke laut dapat dipertimbangkan untuk kami.

“Purata pendapatan saya RM600 sebulan, sedangkan saya perlu menanggung isteri dan lapan anak yang berusia antara tiga hingga 19 tahun,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Beris Lalang, Che Hamid Che Deraman, berkata, pembinaan jeti itu dapat meningkatkan pendapatan penduduk yang bekerja sebagai nelayan.

“Jumlah penduduk di kawasan ini kira-kira 3,000 orang dan golongan miskin tegar terdiri daripada nelayan. Justeru, memang wajar mereka dibantu.

“Saya lihat pembinaan jeti ini sebagai permulaan bantuan BN kepada nelayan, dan saya percaya lebih banyak bantuan lain dapat dinikmati nelayan jika BN menang pilihan raya nanti,” katanya.

Difahamkan, purata hasil di jeti ini dianggar 200 kilogram atau RM1,000 sehari.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.