‘Pemalu, pendiam’ Dayang sukar cari jodoh

RAMAI di kalangan artis seusianya sudah mengecapi alam rumah tangga, namun berbeza buat penyanyi kelahiran Kuching Sarawak ini. Sehingga ke hari ini, pemilik nama Dayang Nurfaizah Awang Dowty, 32, ini masih belum memikirkan soal jodoh.

Dayang Nurfaizah

Dayang Nurfaizah

Malah sepanjang penglibatannya dalam bidang seni, jarang dia digosipkan dengan mana-mana jejaka melainkan penyanyi popular, Anuar Zain. Akui masih belum punya kekasih hati, penyanyi Dayang Sayang Kamu ini, mengakui lebih selesa hidup membujang.

“Terus-terang sehingga kini, saya masih belum ada kekasih dan kerana sibuk membina kerjaya. Pasti ramai yang tidak percaya, tetapi inilah hakikatnya,” katanya.

Akui Dayang, sikapnya yang pemalu dan pendiam membuatkannya sukar untuk mencari pasangan hidup.

“Saya tak tahu bagaimana nak memulakan perhubungan. Lagipun saya tak pernah letak soal itu (jodoh) sebagai keutamaan dalam hidup. Lagipun keluarga tak pernah desak saya untuk berkahwin,” katanya.

Tidak meletakkan sebarang sasaran umur untuk menamatkan zaman solonya, Dayang berkata, dia juga tidak kisah digelar andartu kerana gelaran itu sudah tidak relevan di zaman yang semakin moden ini.

“Saya tak nak bujang sampai ke tua. Suatu hari nanti, saya nak kahwin juga. Cuma buat masa ini belum ada jodoh,” kata Dayang yang tidak mahu kisah-kisah peribadinya mengatasi karier seninya.

Kurang popular?

Jika suatu ketika dahulu, dia pernah mengecap populariti yang tinggi dengan memukau peminat dengan lagu-lagu hitnya seperti, Seandainya Masih Ada Cinta dan Erti Hidup, namun tahun berganti tahun, nama Dayang Nurfaizah, semakin suram. Malah publisiti tentang dirinya juga jarang kedengaran.

Tidak menafikan populariti semakin pudar, bagi finalis One In A Million (OAIM) minat nyanyiannya tidak pernah pudar. Walaupun jarang muncul di akhbar mahupun televisyen, namun pemilik suara merdu ini masih punya nilai eksklusif setiap kali muncul di hadapan peminat.

“Jika ada yang kata saya mendiamkan diri, mungkin saya hanya diam dengan pihak media sahaja. Tetapi kerjaya seni masih berjalan seperti biasa. Mungkin orang melihat saya menyepi kerana tidak melihat saya di kaca televisyen. Tetapi saya masih sibuk dengan tawaran nyanyian di luar televisyen.

“Lagipun rancangan hiburan (nyanyian) di televisyen kini semakin berkurangan. Jadi sedikit sukar untuk nampak saya di televisyen,” kata Dayang turut meluahkan rasa kecewa apabila segelintir pihak menganggap dia sudah menyepi dari dunia hiburan.

Buah tangan terbaru

Selepas album sulung terakhirnya, Sayang & Cahaya, yang dilancarkan dua tahun lalu, Dayang bakal muncul dengan album kolaborasinya bersama rakan seangkatannya, Anuar Zain.

Album itu diterbitkan khas sempena konsert mereka di Dewan Philharmonik Petronas, Mei tahun lalu.

“Selain album kolaborasi ini, saya sedang mengumpul material untuk album baru saya sedikit demi sedikit dan mengalu-alukan komposer dan pencipta lagu untuk menyumbangkan lagu kepada saya.

“Selain itu, saya juga sibuk dengan permintaan mengadakan persembahan di seluruh negara yang tidak pernah putus.” katanya.

Menurutnya, walaupun industri hiburan sering kali muncul dengan wajah-wajah baru, namun dia sedikit pun tidak tergugat, malah menganggap ia adalah rezeki masing-masing.

“Saya menganggap kemunculan penyanyi baru dalam industri ini sekurang-kurangnya meningkatkan nama industri hiburan di persada negara,” katanya yang pernah meraih kejayaan tinggi menerusi album pertama, Dayang Nurfaizah (1999).

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.