Pasport palsu: ‘Gantung tugas pegawai imigresen’

R. Sri Sanjeevan

R. Sri Sanjeevan

SERI KEMBANGAN – Pengerusi Pasukan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch), R. Sri Sanjeevan mendesak Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggantung tugas anggota dan pegawai dari Jabatan Imigresen yang didakwa cuai hingga menyebabkan dua pelancong asing menggunakan pasport curi menaiki pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang dilaporkan hilang awal Sabtu lalu.

Katanya, siasatan dalaman tidak mencukupi jika membiarkan anggota dan pegawai terbabit terus menjalankan tugas seperti biasa kerana dikhuatiri akan mengganggu siasatan sekali gus tidak mencerminkan kesungguhan kerajaan menangani ancaman keselamatan negara.

“Saya menyokong tindakan Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) yang akan menyiasat terperinci kes itu tetapi lebih wajar jika pegawai berkenaan ditukarkan atau memberikan itu cuti atau menggantung tugas mereka sehingga siasatan penuh dijalankan. Tindakan itu akan nampak lebih profesional.

“Insiden itu tidak sepatutnya berlaku kerana perkara itu cukup memalukan negara kerana dua individu tersebut dapat memboloskan diri melalui checkpoint pihak keselamatan kita dan ini melibatkan 239 nyawa,” katanya kepada Sinar Harian Online, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas lanjut kenyataan Ahmad Zahid semalam yang memberi jaminan satu siasatan dalaman akan dijalankan terhadap Jabatan Imigresen berikutan laporan wujudnya dua pasport palsu dalam penerbangan misteri itu.

Ahmad Zahid menegaskan siasatan secara terperinci itu akan memberi tumpuan khusus kepada Jabatan Imigresen cawangan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Jelasnya siasatan itu dijalankan oleh satu pasukan khas yang diketuai Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Aloyah Mamat.

Susulan kejadian itu, Sanjeevan turut melahirkan kebimbangannya apabila insiden itu turut menggambarkan tahap keselamatan pintu keluar dan masuk negara kini berada dalam keadaan kritikal serta terancam.

“Saya rasa tahap keselamatan bukan sahaja di KLIA tetapi di semua pintu masuk dan keluar seluruh negara berada pada tahap yang cukup membimbangkan.

“Kes tersebut bukannya kali pertama berlaku seseorang itu memboloskan diri, tetapi kita mempunyai kes-kes lain di mana senjata api, dadah dan mercun dibawa masuk melalui pintu masuk negara kita tanpa dapat dikesan,” dakwanya lagi. – Sinar Harian

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.