Pas yakin kekal kuasa di Parit Buntar

PARIT BUNTAR – Pas yakin perkhidmatan cemerlang yang diberikan wakil rakyatnya mampu mengekalkan kemenangan parti itu di kerusi Parlimen Parit Buntar dan Dun Titi Serong pada Pilihan Raya Umum ke-13(PRU13).

Lebih 1,000 ahli dan penyokong memberi sokongan padu kepada kepimpinan PR Parlimen Parit Buntar.

Lebih 1,000 ahli dan penyokong memberi sokongan padu kepada kepimpinan PR Parlimen Parit Buntar.

Ahli Jawatankuasa(AJK) Pas Pusat, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, sokongan pelbagai kaum termasuk bukan Melayu terhadap parti itu kini di tahap amat membanggakan.

“Pas untuk semua kaum dan apa yang saya lihat sekarang, kaum bukan Melayu telah menunjukkan sokongan padu mereka kepada PR khususnya Pas di Parlimen ini.

“Walaupun kita tidak diberikan peruntukan khusus oleh kerajaan tetapi itu semua bukannya halangan kepada kita untuk berkhidmat.

“Ianya terbukti melalui kecemerlangan kita menyelesaikan segala masalah di Parlimen ini,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Mengenai perjalanan program Himpunan 3,000 Pemuda Pas kawasan Parit Buntar di Dataran Purnama semalam, Dr Mujahid menyifatkan ianya satu kejayaan setelah lebih 1,500 pemuda menyertai konvoi bermotorsikal parti itu mengelilingi Parlimen Parit Buntar bermula awal pagi.

Menurutnya, kehadiran lebih 1,000 hadirin terutama golongan muda seharusnya memberi isyarat jelas kepada BN bahawa rakyat kini dahagakan perubahan di peringkat kerajaan negeri dan pusat.

“Oleh itu, perkara paling penting perlu dilakukan rakyat adalah mengekalkan kemenangan PR di Parlimen Parit Buntar bagi membolehkan hasrat menawan Putrajaya tercapai.

“Reformasi lebih besar akan dilakukan Pas dan PR demi kebajikan rakyat sekiranya kita menawan Putrajaya kelak.

“Hak rakyat bukan hak kami, apabila PR memerintah kami akan kembalikan apa yang dirampas oleh BN kepada rakyat semula,” katanya.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.