Pas, PKR terima tempias sokongan kaum Cina

POPULARITI BN merosot didakwa berpunca daripada tsunami pengundi Cina yang memilih PR untuk membawa perubahan di negara ini.
image (1)
Walaupun DAP yang lebih dominan mendapat sokongan pengundi Cina, Pas dan PKR turut menerima tempias sokongan kaum itu kerana mereka mahu menolak BN sebagai peneraju kerajaan.

Berdasarkan keputusan PRU13 lalu, jelas menunjukkan peratusan sokongan pengundi Cina kepada calon PR meningkat, sekali gus membuktikan mereka sudah hilang kepercayaan kepada BN.

Difahamkan, pengundi Cina yang menetap di kawasan bandar sememang sudah bersedia untuk menolak BN kerana mendakwa mereka mampu berdiri sendiri lebih-lebih lagi apabila sudah memonopoli empayar ekonomi di negara ini.

Sementara pengundi Cina di kawasan luar bandar tetap menyokong BN kerana masih memerlukan bantuan peruntukan kerajaan BN untuk meningkatkan taraf hidup mereka.

Hasutan punca kalah

Senario kekalahan BN di Dun Triang dan kemerosotan undi di kerusi Dun Guai serta Dun Kemayan termasuk Parlimen Bera didakwa berpunca daripada tindakan menakut-nakutkan pengundi Cina sepanjang berkempen PRU lalu.

Aktivis politik, P Mahenthiran berkata, difahamkan pihak berkenaan sering menggunakan isu tanah untuk menggugat kepercayaan pengundi Cina terhadap BN dengan mengatakan mereka tidak akan memperoleh hak pemilikan tanah sekiranya BN terus memerintah.

“Sesiapa sahaja yang dengar ugutan seperti itu akan rasa takut dan bimbang kalau mereka tidak akan mendapat bantuan daripada kerajaan BN.

“Padahal, selama hari ini, ada antara mereka yang mengusahakan tanah kerajaan tanpa membayar sebarang cukai dan hasil dinikmati sendiri,” katanya kepada Sinar Harian.

Mahenthiran berkata, sepatutnya rakyat boleh berfikir sendiri dengan menilai apa yang kerajaan telah berikan kepada mereka dan seharusnya tidak mempercayai hasutan seperti itu.

Selain itu dakwanya, pengundi muda Cina yang masing-masing pulang mengundi dikatakan turut mempengaruhi ibu bapa mereka untuk menolak BN.

“Kebanyakan orang muda ini menetap di bandar dan menerima pendedahan media sosial yang lebih meluas tanpa mengambil kira sama ada apa yang disebarkan itu benar atau tidak.

“Jadi, apabila mereka balik mengundi, sudah pasti mereka akan ‘mencuci’ minda ibu bapa masing-masing sehingga menyebabkan mereka memilih pembangkang,” katanya.

Perebutan antara MCA, Gerakan

Perebutan kerusi antara parti Gerakan dan MCA juga dikatakan merupakan salah satu faktor pengundi Cina tidak bersatu.

Difahamkan, sebelum ini, wujud pertikaian apabila pucuk pimpinan MCA tidak bersetuju calon Gerakan dicalonkan bertanding menentang DAP di Dun Triang.

MCA sememangnya sudah lama mengimpikan kerusi itu semula, tetapi sekali lagi Gerakan diberi peluang.

PKR sangkal dakwaan

PKR menyangkal dakwaan BN kononnya kegagalan mereka meraih lebih banyak undi pada pilihan raya kali ini berikutan berlakunya tsunami kaum Cina.

Bekas calon PKR bagi kerusi Parlimen Bera, Zakaria Abdul Hamid berkata, kemerosotan undi BN berpunca daripada semua kaum dan tidak wajar menuding jari kepada pengundi Cina semata.

Menurutnya, situasi itu jelas kelihatan di kawasan bandar kerana pengundi di kawasan terbabit semakin berani menerima perubahan dalam pemerintahan.

“Keadaan berlaku di seluruh negara. Ini adalah kebangkitan rakyat yang mahu melihat perubahan dilakukan PR.

“Mereka mahu mencuba, dan kalau PR tidak mampu memerintah dengan baik, mereka akan menyerahkan semula kepada BN,” katanya.

Walaupun PR gagal menawan Parlimen Bera tetapi berjaya mengekalkan kerusi Dun Triang dengan majoriti besar.

DAP berani meletakkan seorang calon wanita muda yang baru pertama kali menjejaki kaki dalam dunia politik untuk menentang calon BN yang mempunyai pengalaman bertanding pada PRU12.

Leong Yu Man, calon berusia 28 itu, memperoleh undi sebanyak 10, 076 menewaskan Tan Tin Loon dengan majoriti 5, 009 undi.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.