Pas ancam tarik diri daripada kerajaan P Pinang

PERAI – Pas Pulau Pinang akan menarik diri dan melepaskan semua jawatan dalam Kerajaan Negeri Pulau Pinang sekiranya terdapat campur tangan tertentu dalam hal ehwal Islam di sini.

Muhammad Fauzi (duduk, lima kiri) bersama ahli Pas yang lain dalam sidang media di Safira Country Club.

Muhammad Fauzi (duduk, lima kiri) bersama ahli Pas yang lain dalam sidang media di Safira Country Club.

Timbalan Pesuruhjaya Pas Negeri, Muhammad Fauzi Yusoff berkata, pihaknya menuntut supaya Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Salleh Man diberikan kuasa penuh dalam bidang tugas beliau.

Menurutnya, difahamkan ada berlaku campur tangan yang tidak wajar oleh Exco Kerajaan Negeri dalam menetapkan jawatan Ahli-ahli Majlis MAINPP, pengerusi dan ahli lembaga pengarah untuk sesi pemilihan akan datang.

“Ini merupakan tindakan yang bertentangan dengan etika dan amat dikesali sekiranya benar.

“Selain itu, kami mahu bilangan ahli majlis yang dilantik dalam Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) ditambah kuotanya dari dua kepada empat orang,” katanya dalam sidang media khas yang diadakan di Safira Country Club, hari ini.

Beliau berkata, kesemua sayap parti meminta Pas supaya lebih bertegas dengan kerajaan negeri bagi memastikan posisi dan peranan yang dimainkan dalam pentadbiran lebih seimbang.

“Tindakan kerajaan negeri mengadakan perbincangan sesuatu dasar mahupun polisi tanpa membabitkan Pas menampakkan kami seolah-olah seperti boneka. dan kami tidak akan mengiktiraf mana-mana individu dari luar parti yang dilantik secara politik tanpa melalui perbincangan dan persetujuan Pas negeri.

“Jika tuntutan yang dibuat tidak diambil serius maka kami akan menarik diri dan meletak jawatan atau posisi jawatan malah akan kedudukan dalam pakatan pembangkang akan dikaji semula demi menjaga maruah dan prinsip parti,” katanya.

Muhammad Fauzi berkata, permintaan yang disuarakan itu mewakili akar umbi ahli Pas negeri ini.

“Kami mahu Pas negeri diberi kuasa penuh untuk memilih dan melantik Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) di dua Parlimen dan enam Dun yang ditandingi Pas.

“Permintaan ini bersesuaian dengan sumbangan yang kami berikan kepada kerajaan negeri selama ini,” katanya.

Beliau berkata, surat-surat permohonan yang dihantar kepada kerajaan negeri tidak dijawab menyebabkan Badan Perhubungan Pas Negeri terpaksa menyuarakan permintaan itu menerusi sidang media.

“Kerajaan negeri mungkin terlalu sibuk bertemu rakyat sehingga tiada masa untuk memberi jawapan namun diharapkan menerusi cara ini (sidang media), mereka akan sedar akan permintaan yang disuarakan.

“Tuntutan ini selaras dengan slogan yang dilaungkan walaupun ia tidak dipraktikkan kerajaan negeri buat masa ini,” katanya. – Sinar Harian

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.