Padah ‘pancing’ duit RM4

ALOR GAJAH – Disebabkan RM4, seorang pemuda dicekup ketika sedang leka ‘memancing’ duit dalam tabung derma sebuah masjid di Ramuan China Besar, Lubok China, di sini pagi, semalam.

Mohlis menunjukkan bagaimana suspek'memancing' duit dalam tabung masjid.

Mohlis menunjukkan bagaimana suspek ‘memancing’ duit dalam tabung masjid.

Kejadian kira-kira jam 11.50 pagi itu disedari penduduk, Mohlis Mat Som, 61, yang terpandangkan motosikal ditunggang suspek masuk ke pekarangan masjid berkenaan dan terus memerhati.

Mohlis berkata, melihat pergerakan lelaki itu yang mencurigakan, dia terus ke masjid dan melihat pintu utama masjid ditutup rapat sebelum  melangkah perlahan masuk ke dalam masjid.

Menurutnya, sebaik sahaja masuk, dia melihat tirai tempat solat wanita ditarik hampir menutup laluan dan mendapati suspek leka memasukan sebatang dawai ke dalam lubang tabung.

“Saya sempat memerhati suspek memancing wang kertas dalam tabung menggunakan dawai kira-kira 12 inci yang diletakkan gula-gula getah di hujungnya.

“Saya terus sergah suspek yang terperanjat dan mencekak bahagian depan leher bajunya dan suspek melawan hingga saya terpaksa menumbuk perutnya, ” katanya.

Mohlis berkata, ketika ditanya, lelaki berkenaan mengaku mencuri RM4 dari dalam tabung berkenaan.

Lelaki berkenaan yang disyaki penagih dadah dibawa ke Balai Polis Lubok China.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Negeri, Superintendan P.R Gunarajan ketika dihubungi mengesahkan laporan berhubung kejadian.

“Suspek yang masih bujang disyaki penagih dadah selepas ujian air kencingnya disahkan positif dadah dan ditahan reman 14 hari bermula kelmarin hingga 29 April ini.

“Polis turut menemui dawai serta gunting yang digunakan untuk aktiviti jenayahnya dan kes berkenaan di siasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.