Orang ramai ingkar arahan tentera

 

Pertempuran tercetus sebelum perarakan di Bangkok, semalam.

Pertempuran tercetus sebelum perarakan di Bangkok, semalam.

BANGKOK – THAILAND. Lebih 1,000 penunjuk perasaan antirampasan kuasa, semalam bertindak mengingkari arahan tentera dengan meneruskan protes walaupun diberi amaran oleh tentera.

Mereka melaungkan slogan mengutuk tentera sambil berarak dari Chidlom menuju ke Bangkok.

Difahamkan, ia adalah tindak balas terbesar sejak rampasan kuasa pada Khamis lalu.

Media melaporkan pasukan keselamatan tidak mengambil tindakan ke atas mereka walaupun tentera sudah memberi amaran keras supaya bersurai.

“Kami tidak gentar dengan tentera. Kami mahu pilihan raya diadakan untuk memilih pemerintah sendiri,” kata seorang daripada peserta protes, Kongjit Paennoy, 50.

Sementara itu, jurucakap junta tentera, Kolonel Winthai Suvaree menggesa orang ramai supaya memahami situasi yang sedang dihadapi negara tersebut.

“Pemerintahan demokrasi tidak boleh diteruskan pada masa ini dan ia perlu diambil alih oleh tentera.

“Saya berharap, penduduk bertenang dan jangan menggunakan media sosial untuk menghasut keganasan,” tegasnya dipetik sumber AFP.  
 
Terdahulu, pergelutan tercetus selepas puluhan penunjuk perasaan bertindak merempuh tentera bersenjata di luar sebuah pusat beli-belah di ibu negara.

Susulan insiden itu, dua penunjuk perasaan telah diberkas manakala seorang lagi cedera.

Dalam perkembangan lain, junta tentera mengesahkan lebih 100 ahli politik ditahan sejak Jumaat lalu tidak akan didakwa sebaliknya mereka dibebaskan minggu depan.

Kolonel Werachon Sukondhapatipak berkata, kesemua tahanan tersebut akan hidup bebas seperti biasa, namun pergerakan mereka bakal diawasi jika masih terlibat secara langsung dalam konflik di negara terbabit.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.