Nyawa bagaikan di hujung tanduk

Muhammad Nur Helmi (kanan) bersama rakan-rakan penuntut di Yaman.

Muhammad Nur Helmi (kanan) bersama rakan-rakan penuntut di Yaman.

IPOH – Cemas! “Adakah ini pengakhiran hidup aku? Ya…ALLAH, lindungilah hambamu ini.”  Itu sahaja yang berlegar di fikiran Muhammad Nur Helmi Azahar, 20, salah seorang pelajar Malaysia di Yaman saat diacu raifal seorang askar Yaman.

Luruh jiwanya diresap seribu ketakutan bukan sahaja bimbang muncung raifal meledak peluru malah sergahan garau berbunyi: “Jangan fikir aku tak boleh bunuh kamu..” askar terbabit membuatnya pasrah, nyawa mungkin melayang di bumi bergolak itu.

Itu situasi paling cemas pernah dialami dan pastinya menjadi pengalaman paling tidak dapat dilupakan pelajar jurusan Syariah di Darul Mustafa, Tarim, Yaman itu.

Berkongsi detik debar itu kepada Sinar Harian, Muhammad Nur Helmi merasakan separuh nyawanya hilang selepas timbul salah faham antara dia dan seorang askar Yaman ketika melalui salah satu daripada 10 check point dari Tarim ke Sanaa untuk pulang ke Malaysia.

“Setiap check point kami perlu serahkan surat pelepasan. Tiba di satu check point, saya merenung salah seorang askar di situ dan renungan itu disalah tafsir sehingga timbul suasana tegang.

“Mujurlah keadaan itu tidak berterusan. Selepas surat pelepasan diserahkan, saya bersama rakan dibenarkan untuk beredar,” katanya, semalam.

Menurut Muhammad Nur Helmi, perang saudara antara kabilah di Yaman bukan sesuatu yang baharu, malah ketika berada di sana sejak 2013 telah pun berlaku kekacauan.

Bagaimanapun katanya, perang saudara yang berlaku di negara itu setakat ini tidak banyak mengganggu pengajian mereka, tetapi ia masih meletakkan pelajar dalam keadaan berjaga-jaga.

Beberapa peristiwa menakutkan juga berlaku apabila van awam yang dinaiki melalui kawasan tempur antara kumpulan yang berperang.

Katanya, ketika itu, bunyi dentuman kuat berserta bunyi tembakan menyebabkan kesemua penumpang van berkenaan menundukkan kepala.

“Masa itu semua wanita dalam van tunduk takut terkena tembakan. Kami pelajar Malaysia yang turut berada dalam itu ikut sama walaupun bingung dengan apa yang berlaku.

“Ada juga yang menangis sebab terlalu takut tetapi alhamdulillah, kami semua selamat,” katanya.

Jauh dari zon perang

Menceritakan mengenai perkembangan terbaharu di sana, Muhammad Nur Helmi berkata, jarak kawasan bergolak dengan Tarim agak jauh tetapi bahangnya tetap dirasai.

Menurutnya, paling terkesan adalah kesukaran untuk mendapatkan sumber bahan api kerana kawasan minyak telah ditawan.

Kata Muhammad Nur Helmi, kebiasaannya mereka naik motosikal ke pusat pengajian, tetapi terpaksa menaiki teksi walaupun mahal berikutan bekalan minyak terputus.

Bagi kawasan bergolak, mereka saling berhubung antara satu sama lain melalui aplikasi WhatsApp bagi memberitahu perkembangan semasa.

Menurutnya, ada juga yang beritahu bilik mereka rosak teruk dibedil ketika keluar ke kelas tetapi keadaan pelajar masih selamat.

Dia sendiri sentiasa memaklumkan perkembangan semasa ketika berada di sana kepada keluarga bagi memastikan orang tua tidak risau keadaannya.

Katanya, pada peringkat awal dia tidak mahu pulang kerana memikirkan pengajian, tetapi selepas mendapat nasihat daripada ahli keluarga dan rakan-rakan, dia mengambil keputusan untuk pulang, kelmarin.

“Pihak kedutaan Malaysia di Oman banyak membantu dalam urusan membawa pulang pelajar-pelajar, malah urusan penghantaran pulang juga dibuat melalui Oman setelah lapangan terbang di Yaman ditawan,” katanya.

Ditanya mengenai masa depannya, Muhammad Nur Helmi berkata, dia mahu kembali menyambung pengajian di Yaman jika keadaan politik di sana stabil.

Namun kata anak ketiga daripada empat beradik itu, sekiranya keadaan berterusan, dia menjangkakan akan menyambung pengajian di dalam negara.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.