Nora, Adira dan Black bakal gegarkan UUM!

Sempena Hari Pengasasan ke-29, Universiti Utara Malaysia (UUM) bakal menganjurkan Konsert Gemilang 2013 pada 12 Mei ini di Dewan Mu’adzam Shah, UUM.
image (4)
Konsert yang dikendalikan oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Jawatankuasa Pengurusan Kebajikan (MKSK) dan Pusat Budaya dan Seni UUM itu menggabungkan tiga penyanyi terkenal tanah air iaitu Nora, Adira dan Black.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Madya Dr Abdul Malek Karim berkata, konsert tersebut pastinya menjadi lebih menarik apabila turut mendapat kerjasama daripada Istana Budaya.

“Konsert ini turut diserikan dengan barisan pemuzik dan artis Istana Budaya serta penampilan khas pelajar dan staf UUM sendiri,” katanya.

Menurut Dr Malek, walaupun UUM tidak mempunyai program kesenian yang ditawarkan dalam pengajiannya, namun Pusat Budaya dan Seni memainkan peranan yang amat penting dalam membangun serta membimbing mahasiswa yang berketerampilan dalam bidang seni.

“Sebagai Universiti Pengurusan mereka juga perlu mengetahui bagaimana proses mengendalikan program kesenian oleh itu gabungan dengan Istana Budaya ini sudah cukup untuk membantu mereka untuk mempraktikkan bidang praktikal selepas teori dipelajari di bilik kuliah.

Malah, dia turut memuji Istana Budaya yang bukan sahaja memberi kerjasama kepada UUM malah turut menawarkan latihan industri kepada mahasiswa yang berminat.

Muzik 1Malaysia

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani turut memuji usaha UUM dalam memartabatkan muzik tradisional yang kini kian terpinggir.

Jelasnya, antara tarikan utama dalam konsert tersebut adalah setiap penyanyi akan diiringi dengan muzik orkestra tradisional yang merupakan gabungan muzik ketiga kaum di Malaysia.

“Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) merupakan sebuah Orkestra unik yang menggabungkan secara sistematik alat muzik tradisional hasil gabungan 1Malaysia.

“Malah OTM merupakan satu-satunya orkestra yang menggabungkan pelbagai alat muzik tradisional dalam satu masa di dunia ini,” katanya.

Tambah Mohamed Juhari, perkembangan dalam bidang seni juga memerlukan perhatian khasnya mahasiswa dalam bidang seni bagi memartabatkan bidang seni tanah air.

Katanya, konsert yang bakal mempersembahkan ciri-ciri kesantunan, keanggunan dan patriotisme khususnya kepada warga kampus turut dihadiri oleh Yang Teramat Mulia Tunku Panglima Besar Kedah, Datuk Seri Diraja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz, Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah yang juga merupakan Pro Canselor UUM.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.