Nong Chik kaji saman Izzah

KUALA LUMPUR – Timbalan Pengerusi Penyelaras BN Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, akan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Nurul Izzah, berikutan fitnah dan tohmahan yang dilemparkan terhadap beliau dan keluarga sepanjang kempen PRU khususnya.

Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin

Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin

Raja Nong Chik berkata, langkah tersebut bertujuan bagi membersihkan imej dan maruah keluarga yang terjejas dek isu dimainkan pihak pembangkang itu.

“Saya dalam kajian untuk ambil tindakan undang-undang kerana sudah banyak fitnah yang ditimbulkan dan menjadi bahan kempen mereka (PKR).

“Malah, sehari sebelum hari pengundian juga dia (Nurul Izzah) membawa isu mengaitkan saya dengan tanah Bukit Kiara yang langsung tiada asas,” katanya pada pertemuan bersama media, di Pusat Khidmat Masyarakat BN Lembah Pantai, Bangsar, di sini, semalam.

Raja Nong Chik menyifatkan, tindakan pihak pembangkang memainkan isu fitnah terhadap beliau sebagai satu bentuk kempen yang tidak bersih meskipun secara terang beliau membidas tohmahan yang dilemparkan dengan fakta dan bukti jelas.

“Mereka mahu proses kempen dijalankan dengan bersih tetapi apa yang mereka lakukan ini langsung tidak menggambarkan cara yang bersih, sering timbulkan provokasi. Jika ini berterusan, saya lihat masa depan Malaysia tidak cerah,” katanya.

Ketika ditanya berkenaan rancangan beliau meneruskan khidmat sebagai senator sekiranya dilantik kembali meskipun gagal menawan kerusi Parlimen Lembah Pantai, beliau menyifatkan ia lebih sesuai diterajui pihak lain yang memenangi kerusi parlimen.

Katanya, tidak timbul isu ‘tawar hati’ namun tidak mahu hal tersebut (menjadi senator) menjadi bahan pihak pembangkang.

“Pada saya, semuanya terpulang kepada perdana menteri, namun untuk menjadi menteri saya rasa tidak sesuai, saya akan bincang dengan perdana menteri sekiranya ditawarkan, tetapi sebenarnya saya berat (hati) kerana lebih sesuai dipilih dalam kalangan wakil rakyat.

“Melainkan jawatan itu tidak ada kena mengena dengan kapasiti sebagai ahli parlimen dan boleh membantu BN, saya akan pertimbangkan,” katanya.

Mengulas berhubung kegagalannya menawan kerusi parlimen itu, Raja Nong Chik menyifatkan ia bukan penamat kerjaya politik beliau kerana beliau akan meneruskan khidmat dan perjuangan di Lembah Pantai meskipun tidak memegang sebarang jawatan menteri.

Beliau merasakan, faktor utama kekalahan beliau adalah apabila isu karakter lebih dipandang serius sesetengah pihak berbanding kerja dilaksanakan di kawasan itu.

“Saya tidak marah mereka, tetapi mungkin kerana mereka tidak tinggal di kawasan ini mereka tidak sedar akan kemajuan yang saya lakukan sebaliknya hanya terpengaruh dengan cerita buruk mengenai saya melalui laman web dan media sosial.

“Saya akan terus berkhidmat untuk Lembah Pantai atas kapasiti Ketua Umno Bahagian dan memperjuangkan golongan yang perlu diperjuangkan,” katanya.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.