Nenek berusia 100 tahun nasihat generasi muda keluar mengundi

GEORGE TOWN – Seorang nenek berusia 100 tahun menasihatkan generasi muda yang layak agar tidak mensia-siakan peluang untuk memilih pemimpin negara dengan keluar mengundi pada hari pengundian 5 Mei ini.

Bedah Daud yang berusia 100 tahun menunjukkan isyarat bagus sebagai menyokong calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) N35 Batu Uban, Goh Kheng Sneah (kiri)

Bedah Daud yang berusia 100 tahun menunjukkan isyarat bagus sebagai menyokong calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) N35 Batu Uban, Goh Kheng Sneah (kiri)

“Budak muda sekarang belajar tinggi, sepatutnya lebih pandai…keluarlah mengundi kerana itu kerja kita, pilih siapa yang boleh jaga kita,” kata Bedah Daud yang mesra dipanggil Tok Bedah kepada Bernama, di sini hari ini.

Bedah yang dilahirkan pada 12 April 1913,  berkata sejak pilihan raya pertama negara pada 1959, beliau tidak pernah terlepas daripada mengundi.

“Kami dulu bangun awal pagi kayuh basikal ajak orang keluar mengundi. Lepas tu kami pakat masak nasi kawah dan makan ramai-ramai selepas mengundi itu,” katanya yang ditemui pada program ramah mesra bersama calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Uban, Goh Kheng Sneah.

Anak jati Kampung Batu Uban itu juga menyifatkan dirinya bertuah kerana dapat menyaksikan perubahan negara sejak sebelum merdeka sehingga sekarang.

Mengakui dirinya penyokong BN sejak dahulu, Bedah berkata beliau tidak sabar menunggu hari pengundian ke-13 baginya.

“Sejak guna lambang kapal layar hingga la ni guna lambang dacing, tok suka Barisan (Nasional),” katanya yang masih mempunyai daya ingatan yang kuat.

Sementara itu Goh berkata jentera pilihan rayanya kini giat membuat lawatan rumah ke rumah bagi mendekati masyarakat selain memberi penerangan mengenai menifesto dan dasar baharu BN Pulau Pinang.

Beliau juga berkata orang muda sekarang wajar mengikut nasihat Tok Bedah yang sudah banyak makan garam dan menyaksikan perkembangan negara di bawah kepimpinan BN.

DUN Batu Uban yang terletak di bawah kawasan Parlimen Bayan Baru itu menyaksikan pertandingan lima penjuru membabitkan Goh, calon PKR, Jayabalan A. Thambyappa dan tiga calon bebas iaitu Baratharajan Narayasamy Pillai, Rajendra Ammasi, Mohd Noor Sirajajudeen Mohd Abdul Kader.

DUN itu mempunyai 28,649 pengundi dan pada pilihan raya umum lepas Goh kalah dengan perbezaan 611 undi kepada calon PKR, Raveentharan Subramaniam. – Bernama

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.