‘Naluri kuat kata abah masih ada’

Abdullah Mubarak, 28, menunjukkan gambar terbaru yang dirakam bersama bapa Abdul Muluk Ishak, 71, dan keluarganya semasa di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya baru-baru ini, di kediamannya di Taman Pantai Wang, Pantai Remis, hari ini.

Abdullah Mubarak, 28, menunjukkan gambar terbaru yang dirakam bersama bapa Abdul Muluk Ishak, 71, dan keluarganya semasa di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya baru-baru ini, di kediamannya di Taman Pantai Wang, Pantai Remis, hari ini.

PANTAI REMIS – “Naluri hati saya masih kuat menyatakan abah masih ada lagi,” demikian luahan anak bongsu jemaah haji Malaysia, Abdul Muluk Ishak, 71, yang dilaporkan hilang susulan insiden kren tumbang di Masjidil Haram, Makkah, Jumaat lepas.

Abdullah Mubarak, 28, berkata beliau juga meminta agar khabar angin yang menyatakan bapanya sudah tiada, perlu dihentikan kerana ia mengganggu emosi keluarga.

“Tuhan sahaja yang tahu apa yang kami sekeluarga rasa, jadi hentikan khabar angin. Mereka perlu fikir perasaan kami sekeluarga.

“Malah saya baru sahaja menghubungi mak jam 2 petang tadi dan mak cakap orang Tabung Haji (TH) ada ‘update’ dua atau tiga jam sekali datang bilik tapi masih belum ada apa-apa lagi berita,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya, di Taman Pantai Wang, di sini, hari ini.

Beliau berkata, sebelum ini juga, bapanya yang merupakan pesara askar, pernah sesat di Masjidil Haram pada 4 September lepas, tetapi berjaya ditemui selepas mendapat pertolongan seorang lelaki Arab yang menghantarnya ke hotel semula.

“Saya tak sangka abah hilang lagi, saya agak terkejut. Saya harap abah selamat, sebab saya dari kecil tinggal dengan abah, selama 28 tahun, tak pernah berpisah, ini pula nak dekat dengan Raya Haji, lagi terkilan rasanya.

“Abah sebelum pergi menunaikan haji sempat berpesan: ‘abah nak pergi buat amal ibadat, doa abah dengan mak (Embun Ibrahim, 65) baik-baik di sana, jangan risau’,” katanya sambil menambah bapanya kelihatan sangat gembira sebelum pergi menunaikan haji bersama ibunya.

Sementara itu, anak keempat Abdul Muluk, Mohd Rosli, 34, berkata beliau mengetahui kehilangan bapanya menerusi WhatsApp keluarga pada hari kejadian dan terus menghubungi ibunya di Makkah.

“Saya dapat tahu daripada WhatsApp keluarga, yang TH ada menghubungi abang saya yang tinggal di Nilai. Selepas itu saya call mak, tanya abah ada hilang ker?.

“Mak cakap mulanya dia pergi sembahyang Jumaat dengan tiga kawan sebilik, dalam pada itu, mereka kata abah hilang, mereka cuba cari sampai maghrib tapi tak jumpa,” katanya.

Mohd Rosli berkata, beliau risau dengan kehilangan bapanya yang lebih dikenali sebagai ‘Pak Muluk’ di kawasan itu, kerana ayahnya pernah mengalami kemalangan jalan raya dan menghidap penyakit darah tingggi serta seorang yang pelupa.

Katanya, solat hajat telah diadakan malam tadi dan akan melakukannya sekali lagi malam ini dengan bantuan kariah Masjid Al-Khairiah, Kampung Batu, bagi mendoakan kesejahteraan semua umat Islam yang sedang menunaikan haji di Makkah.

Beliau yang tinggal selang dua rumah dari kediaman bapanya berkata anaknya, Mohd Amirul Indra Putra, 4, juga sentiasa bertanyakan atuknya, sehingga terbawa-bawa ke dalam mimpi.

“Agaknya terlampau rindu kepada atuknya, walaupun kami sekeluarga reda tapi berharap sangat abah dapat dijumpai semula. Mungkin ada hikmah terhadap apa yang terjadi,” katanya. – Bernama

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.