Mukhriz: Hanya satu kerusi exco untuk MCA

ALOR SETAR – Kerajaan negeri hanya memperuntukkan satu kerusi exco untuk Adun MCA.

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, keputusan itu adalah pendirian kerajaan negeri sejak dari awal lagi sebelum pelantikan lapan exco pada Mei lalu.

Datuk Mukhriz Tun Mahathir

Datuk Mukhriz Tun Mahathir

“Sebenarnya dari awal lagi, kita hanya menyediakan satu jawatan exco untuk Adun yang mewakili masyarakat Cina.

“Oleh kerana kita mempunyai dua Adun MCA, salah seorang akan dilantik sebagai Exco. Dari awal lagi kita cuma tawarkan satu kerusi,” katanya kepada media selepas melancarkan perkhidmatan perancangan harta pusaka Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) peringkat negeri di TH Hotel di sini, hari ini.

Pada PRU13 lalu, BN memenangi 21 daripada 36 kerusi Dun dengan Umno mendapat 19 kerusi manakala MCA di Dun Gurun dan Kulim.

Mukhriz berkata, seorang lagi Adun MCA akan disimpan untuk masa depan kerana kerajaan negeri belum tahu perancangan akan datang.

“Saya ingin memenuhi janji yang saya buat sejak awal lagi. Pada saya, isu dua exco dari MCA tidak patut timbul.

“Saya melihat pelantikan ini sepatutnya dibuat bersama exco lain sebelum ini. Bukan kita yang melewatkan pelantikan ini, tapi itu keputusan yang dibuat MCA sendiri,” katanya.

Menurutnya, cadangan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek untuk mendapatkan dua kerusi exco adalah tidak adil.

“Apabila MCA sudah buat keputusan sebelum ini, tiba-tiba nak minta dua jawatan exco pula, saya rasa ini tidak adil. Buat masa ini keputusannya adalah tetap dan hanya satu kerusi exco yang kita tawarkan,” katanya.

Mukhriz yang juga Pengerusi BN Kedah mengakui menerima surat rasmi Soi Lek yang bersetuju untuk melantik Adun MCA sebagai exco kerajaan negeri.

“Saya sudah terima surat itu dan setakat ini tidak ada apa-apa perubahan kerana saya sendiri bersetuju untuk melantik wakil MCA. Surat itu mencadangkan nama Adun Gurun, Dr Leong Yong Kong sebagai exco baru,” katanya.

Mengenai majlis angkat sumpah jawatan exco baru, Mukhriz berkata ia tidak dapat dilakukan dalam tempoh terdekat.

“Kita akan cari tarikh lain, mungkin Disember ataupun Januari. Kalau nak dibuat sebelum sidang Dun pada 18 November ini memang tidak sempat,” katanya.

Sebelum ini, Chua Soi Lek mencadangkan perkara itu bagi memenuhi kuota yang diperuntukkan kepada MCA ketika berkempen dalam PRK Dun Sungai Limau.

Menurutnya, beliau akan menggunakan peluang yang ada untuk memenuhi kuota kerusi exco berkenaan kerana Mukhriz hanya melantik lapan daripada 10 exco, dengan dua lagi secara tradisinya akan diberikan kepada MCA dan Gerakan.

Beliau mencadangkan dua exco mewakili MCA kerana Gerakan tidak mempunyai wakil kerana semua calonya kalah dalam PRU13.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.