MH370: Tak Mungkin Sebab Khianat – Ketua Pengarah DCA

Logo-Jabatan-Penerbangan-Awam-DCA

SEPANG – Usaha mencari dan menyelamat pesawat Malaysia Airlines MH370 yang dilaporkan hilang di sempadan Malaysia-Vietnam akan diperluas hingga meliputi Selat Melaka mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata jabatan itu mendapat kerjasama daripada pihak berkuasa Vietnam dan Singapura dalam usaha pencarian pesawat itu yang membawa 239 penumpang termasuk 12 anak kapal.

“Ini adalah sebahagian daripada SOP dengan tumpuan usaha mencarinya di Laut China Selatan dan diperluaskan ke Pantai Timur Semenanjung,” katanya di sini, hari ini.

Ketika ditanya mengenai dua tumpahan minyak di perairan Vietnam, Azharuddin berkata belum ada laporan yang mengesahkan tumpahan minyak itu dan DCA masih menunggu maklum balas daripada kerajaan Vietnam mengenainya.

Menurut laporan-laporan berita, tumpahan minyak itu dikesan di perairan selatan Vietnam pada Sabtu dan masing-masing adalah sepanjang kira-kira enam dan sembilan meter.

“Ya, saya membacanya dalam berita tetapi belum ada yang rasmi (maklum balas daripada kerajaan Vietnam),” katanya.

Azharuddin juga menolak perbuatan khianat yang membawa kepada kehilangan MH370, dengan langkah keselamatan sewajarnya telah diambil sebelum pesawat itu berlepas.

“Ia adalah (mengenai) keselamatan dan kami telah melihat semula rakaman kamera litar tertutup (CCTV). Kami akan memantau semua rekod berhubung tragedi ini dan bagasi penumpang yang menaiki pesawat itu.

Ditanya mengenai pasport penumpang yang didakwa dicuri, Azharuddin berkata : “Ia masih dalam siasatan pihak berkuasa.”

Menurut laporan perkhidmatan berita Itali ANSA, seorang warganegara Itali dinamakan antara penumpang pesawat MH370 itu, namun ibu bapanya mengesahkan beliau berada di Thailand dan telah membuat laporan mengenai pasportnya dicuri pada Ogos tahun lepas.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAS Ahmad Jauhari Yahya berkata pesawat nasional itu menyedari mengenai pasport yang dicuri itu.

“Pihak berkuasa sedang bekerjasama dengan semua kedutaan dan mengkaji asas warganegara asing itu bagi memastikan kami boleh mengesahkan laporan itu,” kata beliau. – BERNAMA

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.