MH370: Malaysia Kongsi Informasi Dengan Agensi Asing Tapi Tak Jejas Keselamatan

malaysia-airlines-mh370-radar-565x423SEPANG – Perkongsian maklumat dengan pelbagai agensi asing yang terlibat dalam siasatan kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 tidak menjejaskan keselamatan negara kerana ia masih dalam kawalan, kata Menteri Pertahanan dan Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

“Ia tidak dalam tahap yang membimbangkan. Tapi untuk jangka masa panjang, kita akan lihat semula kemampuan radar kita. Ini telah saya maklumkan kepada Perdana Menteri,” katanya dalam sidang akhbar harian berhubung perkembangan kehilangan pesawat itu di sini hari ini.

Beliau berkata fokus dan keutamaan negara kini ialah mencari dan mengesan pesawat MH370.

Hishammuddin turut menolak teori bahawa pesawat itu dirampas dengan alat kawalan jauh.

“Bagi saya ia tidak mungkin. Kalau ada maklumat yang sudah disahkan, kita pasti akan siasat,” katanya.

Beliau juga menafikan laporan bahwa Malaysia menolak tawaran FBI untuk menghantar satu pasukannya ke Malaysia.

“Itu jelas satu maklumat palsu kerana Malaysia sudah bekerjasama dengan FBI, Interpol dan pihak berkuasa pelaksanaan undang -undang antarabangsa yang berkaitan sejak hari pertama insiden,” katanya.

Semalam, pakar dari Pentadbiran Penerbangan Awam China turut menyertai pasukan penyiasat.

Hari ini, pegawai dari Pejabat Siasatan dan Analisis bagi Keselamatan Jabatan Penerbangan Awam Perancis tiba di Malaysia bagi berkongsi pengalaman mereka dengan pasukan itu.

Kesemua pihak ini bekerjsama dengan Malaysia Airlines dan Jabatan Penerbangan Awam Malaysia untuk memperhalusi data yang boleh membantu pencarian pesawat itu.

Hishammuddin juga berkata pihak risikan dan berkuasa China telahpun diminta melihat kembali senarai penumpang yang membabitkan rakyat negara itu.

Menjawab soalan jika pihak berkuasa menyiasa kemungkinan juruterbang pesawat itu bertindak membunuh diri, Hishammuddin berkata polis melakukan siasatan dari pelbagai sudut. – BERNAMA

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.