MH370: Laporan Awal Keluar Esok

1396186938619.jpg-620x349-565x317Laporan awal tentang kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 akan dikeluarkan Khamis, kata Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata laporan itu adalah serupa seperti yang dikemukakan kepada Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) oleh Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

“Saya rasa tiada apa-apa masalah untuk mengeluarkan laporan itu. Tetapi kami telah memutuskan sebagai satu pasukan, bahawa ia akan dikeluarkan esok.

“Persetujuan itu saya minta dalam perbincangan saya dengan Australia dan pihak berkepentingan lain dalam misi pencarian, saya telah membentangkan dan melaporkannya kepada Kabinet pagi ini dan saya mendapat mandat yang perlu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Stesen Express Rail Link (ERL) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 11 (klia2) di sini, Rabu.

Komitmen kerajaan untuk mengeluarkan laporan itu disuarakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak minggu lepas.

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata beliau akan berlepas ke Australia minggu depan untuk berbincang tentang fasa baharu misi mencari MH370 yang sekarang tertumpu di kawasan laut dalam dan termasuk aspek kewangan.

Beliau berkata sebarang pengumuman berhubung kos operasi bagi fasa baharu juga akan dibuat minggu depan jika pihak-pihak berkaitan mencapai kata sepakat dan persetujuan mengenainya.

“Tetapi kami tidak tahu tentang kosnya sehingga kami memutuskan di mana hendak memulakan pencarian, apakah aset yang akan digunakan dan siapa yang akan membekalkan aset-aset itu,” katanya dan menambah tiga jawatankuasa peringkat kementerian sedang meneliti perkara itu.

Dalam sidang media di Canberra pada Isnin, Perdana Menteri Australia Tony Abbott berkata operasi mencari sekarang memasuki fasa baharu dengan tumpuan kepada pencarian di dasar laut membabitkan kawasan lebih luas.

Beliau berkata fasa baharu membabitkan khidmat kontraktor komersial yang memiliki kepakaran tinggi dalam operasi pencarian di laut dalam dengan kosnya dianggarkan AUD60 juta (RM184 juta).

Abbott berkata Australia akan akan memohon “sumbangan berpatutan” daripada negara-negara lain yang menyertai operasi mencari.

Penerbangan MH370 membawa 239 penumpang dan anak kapal hilang daripada imbasan radar ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan pada 8 Mac setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam.

Gerakan mencari melibatkan pelbagai negara dilancarkan untuk mengesan pesawat itu, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudiannya difahamkan ia telah melencong daripada laluan asalnya dan berakhir di selatan Lautan Hindi.

– BERNAMA

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.