#MH370 : Kapten Zaharie Berkongsi Jenaka Sebelum Terbang

Kapten-Zaharie-Ahmad-ShahKUALA LUMPUR – Juruterbang pesawat MH370, Kapten Zaharie Ahmad Shah tidak menunjukkan sebarang keganjilan ketika berkongsi gambar-gambar melucukan dengan kumpulan media sosial WhatsApp pada Jumaat, kata seorang rakan.

“Gambar-gambar lucu itu dikongsi beliau pada pagi Jumaat dan itulah kali terakhir Zaharie berkomunikasi dengan kami anggota Kelab Peminat Mila AF5 atau Da Voice of Mila (Davom),” kata Wahida Zamri, 27, kepada Bernama hari ini.

Wahida berkata, dia mengenali Zaharie menerusi Davom sejak lima tahun lepas.

“Abang Zaharie tidak pernah melepaskan peluang menyertai pelbagai aktiviti yang dianjurkan kelab termasuk mengumpul dana untuk membantu mangsa kekejaman Israel di Gaza.

“Beliau sering menghubungi anggota kelab menerusi WhatsApp untuk berkongsi tentang aktiviti kelab namun beliau jarang bercerita mengenai tugasnya,” kata Wahida yang menyifatkan Zaharie sebagai seorang yang pendiam namun ringan tulang.

“Kami semua terkejut apabila mengetahui beliau menerbangkan pesawat itu,” kata Pembantu Tadbir Dewan Bandaraya Kuala Lumpur itu.

Seorang lagi anggota Davom, Nor Azana Hamid, 47, berkata, dia mengenali Zaharie sejak 2007 dan menganggap juruterbang itu sangat berpengalaman kerana sudah berkhidmat 33 tahun.

“Beliau pernah menceritakan tentang cara dia melatih pelatih-pelatih baru. Beliau bertauliah sebab itu dia boleh mengajar orang lain,” kata akauntan di sebuah syarikat swasta di ibu negera.

Zaharie, 53, mengemudikan pesawat B777-200 ke Beijing yang dilapor hilang kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12.41 pagi Sabtu.

Pesawat itu yang membawa 227 penumpang dari 14 negara selain 12 anak kapal dijadual mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama. – BERNAMA

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.