MH370: 29 Waris Penumpang Dari China Tiba Di KLIA

mas3-565x318KUALA LUMPUR – Sejumlah 29 waris penumpang pesawat Malaysia Airlines MH370 dari China tiba di Malaysia hari ini untuk mendapatkan penjelasan terperinci berhubung operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Duta Khas Perdana Menteri ke China Tan Sri Ong Ka Ting memberitahu Bernama mereka tiba dari Beijing diiringi sembilan pegawai kerajaan republik itu dan kini menetap di Hotel Holiday Villa, Subang.

“Pagi tadi saya berada di Subang untuk pastikan segala persediaan untuk penempatan anggota keluarga dari China yang baru tiba ini berjalan lancar.

“Selain itu, saya juga mengadakan perbincangan dengan Duta Besar China di Malaysia Huang Huikang untuk menyelaraskan perkara-perkara berkaitan,” katanya.

Ong menjelaskan anggota keluarga itu merupakan sebahagian daripada kumpulan yang sebelum ini menginap di Hotel Lido di Beijing, namun tidak pasti berapa lama mereka akan berada di Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Ong berkata selain kakitangan MAS, pihaknya mendapatkan bantuan Skuad Bantuan Krisis (CRSM) daripada MCA untuk menguruskan kumpulan yang baru tiba ini.

“Sejumlah 48 sukarelawan CRSM terlibat dan ini memudahkan kita kerana mereka fasih bertutur bahasa Mandarin,” katanya.

Sementara itu, ditanya tentang anggota keluarga penumpang China yang menetap di Bangi, Ong berkata mereka kini lebih tenang berbanding selepas mendengar pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa penerbangan MH370 ‘berakhir’ di selatan Lautan Hindi.

Penerbangan MH370, yang membawa 227 penumpang termasuk 152 warga China, dan 12 anak kapal, hilang pada 8 Mac kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pukul 12.41 tengah malam. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.

Misi pencarian membabitkan pelbagai negara digerak bagi menjejaki pesawat itu, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudian di sepanjang dua koridor iaitu koridor utara menjangkau dari sempadan Kazakhstan dan Turkemistan ke utara Thailand dan koridor selatan, meliputi dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi.

Susulan analisis yang belum pernah dibuat sebelum ini, satelit Inmarsat milik syarikat telekomunikasi United Kingdom dan AAIB merumuskan Penerbangan MH370 terbang di koridor selatan dan kedudukan terakhirnya ialah di tengah-tengah Lautan Hindi ke barat Perth, Australia.

Najib kemudian mengumumkan pada 24 Mac, 17 hari selepas pesawat itu hilang bahawa Penerbangan MH370 “berakhir di selatan Lautan Hindi”.

Kawasan pencarian bagi pesawat MH370 kini ditumpukan ke satu kawasan kira-kira 1,100 kilometer ke barat Perth, Australia berdasarkan nasihat terkini kumpulan penyiasat antarabangsa. – BERNAMA

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.