Mengarut! Minuman probiotik tidak menyebabkan kanser

vitagen

Putrajaya: “Tidak benar, tiada kaitan minuman probiotik dengan kanser,” kata Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai penyebaran mesej pada aplikasi WhatsApp kononnya minuman probiotik mengandungi bakteria hidup boleh mengaktifkan sel kanser.

Dr Lokman Hakim berkata, kandungan mesej berkenaan adalah tidak berasas dan orang ramai tidak sepatutnya mudah terpedaya dengan sebaran maklumat itu.

“Sesiapa pun boleh tulis seperti itu, tanyalah penulisnya. Doktor mana yang berkata demikian?

“Malang bagi kita mudah percaya benda yang tidak berasas,” katanya menerusi SMS kepada Harian Metro, semalam.

Baru-baru ini, satu mesej menerusi aplikasi WhatsApp disebarkan dan berdasarkan kandungannya, ia meminta golongan ibu supaya tidak memberikan minuman probiotik dan yogurt kepada anak kerana kononnya mempunyai bakteria hidup yang mengaktifkan sel kanser.

11159486_10152683310295047_6166216865501903526_n

Mesej itu menyatakan ia adalah maklumat daripada seorang ibu yang kematian anak akibat kanser darah.

Dalam maklumat disebarkan itu, ibu terbabit mengatakan doktor yang merawat anaknya merayu supaya minuman probiotik tidak diberikan kepada kanak-kanak berkenaan.

Pada masa sama, kandungan mesej berkenaan mendakwa, kononnya ada banyak bakteria akibat minum minuman probiotik ketika doktor pakar mengambil air tulang sumsum kanak-kanak yang juga pesakit kanser darah itu.

Dr Lokman Hakim berkata, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai sebarang maklumat tidak berasas dan tidak pasti kesahihannya.

“Jangan mudah percaya dengan berita seperti ini dan jangan dilayan,” katanya.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.