MB Perak, 4 menteri kekal bertanding

 

IPOH – Menteri Besar Datuk, Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan empat menteri di Perak kekal dalam senarai calon BN negeri untuk mempertahan kerusi yang disandang pada pilihan raya umum 5 Mei ini, di samping 11 calon  generasi muda yang turut dinamakan dalam senarai penuh yang diumumkan hari ini.

Dr Zambry Abdul Kadir

Dr Zambry Abdul Kadir

BN Perak menampilkan 35 orang atau 60 peratus calon muka baharu bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dan lima atau 21 peratus muka baharu untuk kerusi Parlimen.

“Dalam proses peremajaan parti, 11 calon daripada generasi muda dipilih untuk mewakili suara golongan itu dalam Dewan Negeri. BN Perak turut menampilkan lapan calon wanita yang akan bertanding di Dun dan dua calon di Parlimen,” kata Zambry yang juga pengerusi BN Perak, pada majlis pengumuman calon-calon negeri, di Bangunan Umno di sini hari ini.

Calon termuda BN negeri ialah anggota Jawatankuasa Pemuda MCA Kampar Daniel Wa Wai How, 25, yang bertanding di kawasan Dun Keranji dan yang lain termasuk Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia Mua’amar Ghadafi Jamal Jamaludin, (Parlimen Parit Buntar), Ketua Puteri Umno Perak Salbiah Mohamed (Dun Temengor) dan pegawai khas Menteri Pengangkutan Ting Tai Fook (Dun Sitiawan).

Zambry akan mempertahan kerusi Dun Pangkor manakala menteri di Perak yang mempertahan kerusi masing-masing ialah Menteri Kewangan kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah (Parlimen Tambun), Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (Bagan Datoh), Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha (Lumut) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohammed Nazri Aziz (Padang Rengas).

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Hamzah Zainuddin kekal mempertahan kerusi Parlimen Larut manakala Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Tan Lian Hoe berpindah ke Parlimen Taiping dari Gerik.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk S.K Devamany pula berpindah kerusi dari Parlimen Cameron Highlands ke Parlimen Sungai Siput, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Lee Chee Leong kekal di kerusi Kampar dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk M. Saravanan di kawasan Parlimen Tapah.

Selain itu, Zambry berkata, Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk M. Kayveas diminta oleh pucuk pimpinan pada saat akhir untuk bertanding di Dun Pasir Bedamar berikutan calon yang disenarai pendek tidak menepati kriteria yang ditetapkan parti.

Zambry berkata, Kayveas yang sebelum ini bertanding bagi kerusi Parlimen Taiping membuat pengorbanan memenuhi permintaan pucuk pimpinan untuk bertanding kerusi Dun bagi membantu kemenangan BN di Perak.

Beliau berkata senarai calon yang dikemukakan BN mempamerkan gandingan pelbagai latar belakang yang terdiri daripada golongan profesional dalam bidang perubatan dan perundangan, ahli akademik dan agama serta golongan pendidik dan pentadbir.

Selain Salbiah, antara calon wanita yang membawa cabaran BN di peringkat Dun ialah Exco kanan negeri Datuk Hamidah Osman (Sungai Rapat), Ketua Pergerakan Wanita Umno negeri Datuk Rusnah Kassim (Behrang), Ketua Wanita Umno Bahagian Padang Rengas, Datuk Siti Salmah Mat Jusak (Lubuk Merbau), Exco Puteri Umno Nolee Ashilin Mohammed Radzi (Tualang Sekah), Ketua Wanita Gerakan Ipoh Timor Ceylyn Tay Wei Lung (Canning) dan anggota Jawatankuasa MCA di Pantai Remis Koh Ser Yun (Pantai Remis).

Pengumuman itu turut menyaksikan kesemua anggota Exco kerajaan negeri sebelum Dun dibubar, kekal bertanding kecuali Datuk Ramly Zahari. Penyandang kerusi Dun yang digugurkan termasuk Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar (Kubu Gajah), Datuk Ahamed Pakeh Adam (Lintang), Datuk Hamdi Abu Bakar (Pengkalan Baharu) dan Dr Wan Norashikin Wan Noordin (Kampong Gajah).

Datuk Nadzri Ismail (Manjoi) pula tidak disenaraikan kerana memilih untuk tidak bertanding.

Zambry berkata parti amat memahami ada nama yang dikehendaki tidak senaraikan sebagai calon BN namun mereka juga perlu ingat bahawa tidak semua yang dihajati dapat dipenuhi.

“Kita selesaikan semua dengan semangat musyawarah dalam BN, kita tidak umumkan nama-nama calon menggunakan pentas-pentas ceramah dan kita berjaya selesaikannya dengan baik sekali,” katanya.

Dengan penampilan gabungan pelbagai latar belakang dan calon muka baru terutama daripada golongan belia serta wanita, beliau berkata, BN Perak bertekad melaksanakan aku janji serta tidak akan mengulangi peristiwa pahit pada tahun (PRU) 2008.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.