Mayat bayi atas pam tandas

Mayat bayi perempuan yang ditemui.

Mayat bayi perempuan yang ditemui.

SEREMBAN – Seorang tukang cuci terkejut apabila mendapati beg dalam tandas wanita yang disangka barang orang tertinggal, rupanya berisi mayat seorang bayi.

Kejadian berlaku di hentian bas dan teksi Terminal One di sini, kira-kira 7 petang semalam, apabila Kyaw Mioo, 32, yang merupakan warga Myanmar mendapati mayat seorang bayi perempuan masih bertali pusat di dalam beg yang ditinggalkan di atas penutup pam tandas berkenaan.

Menurutnya, ketika itu dia masuk ke dalam tandas berkenaan untuk melakukan kerja pembersihan.

“Apabila saya membuka pintu tandas ketiga, saya nampak ada beg berwarna oren di atas pam tandas. Saya sangka mungkin ada orang tertinggal.

“Saya cuba melihatnya, tapi  mula terhidu bau busuk sebelum ternampak ada kepala bayi,” katanya yang bekerja di situ sejak tujuh bulan lalu.

Kyaw Mioo berkata, dia yang terkejut membawa beg berkenaan keluar dan memberitahu majikannya.

Menurutnya, setelah diperiksa, mereka mendapati terdapat mayat seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat.

Sementara itu, pengurus pembersihan tandas di perhentian bas berkenaan, Roslan Mohd Nor, 47, berkata, walaupun mereka duduk di bahagian kaunter bayaran tandas, dia bersama pekerja lain tidak terhidu sebarang bau busuk.

“Kami memang tidak bau apa-apa sebab di sini disediakan pewangi Dettol. Saya pun tidak perasan siapa yang terakhir masuk ke dalam tandas sebelum mayat bayi itu dijumpai.

“Tapi apabila beg plastik itu dibawa keluar, baunya sangat busuk menyebabkan saya sendiri pun takut mahu melihatnya,”katanya.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Zainal Abu ketika dihubungi mengesahkan penemuan itu.

Beliau berkata,  siasatan lanjut masih dijalankan termasuk untuk mengesan ibu kepada bayi berkenaan.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.