Matlamat Wawasan 2020 Mungkin Tak Tercapai

Tun-Dr-Mahathir-565x381

CHERAS – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melahirkan rasa sedih dengan tragedi MH370 yang penerbangannya dilaporkan berakhir di selatan Lautan Hindi.

Menurutnya, berita tersebut bukan sahaja akan memberikan kesan mendalam kepada keluarga mangsa, malah turut akan memberikan kesan kepada negara.

“Berita ini sedikit sebanyak akan memberikan pandangan yang tidak baik kepada Malaysia.

“Kepada keluarga mangsa, banyakkan bersabar dan saya turut berkongsi kesedihan ini,” katanya semasa menyampaikan ucapan penutup pada Seminar Perdana Polis Diraja Malaysia (PDRM), di sini, semalam.

Beliau turut memberi bayangan misi Malaysia menjadi negara maju seperti yang terkandung dalam matlamat Wawasan 2020 tidak akan dapat dicapai.

Menurutnya, tumpuan kerajaan yang hanya menumpukan kepada pendapatan per kapita negara, menghalang matlamat utama itu dalam tempoh enam tahun akan datang.

“Negara maju mempunyai banyak tafsiran, tetapi jika hanya menumpukan kepada pendapatan kepada negara semata-mata, maka matlamat sebenar negara maju itu gagal.

“Untuk menjadi negara maju, kerajaan tidak boleh mengejar kepada (pencapaian) negara berpendapatan tinggi sahaja, tetapi juga perlu canggih dalam aspek lain, seperti masyarakat mempunyai taraf pendidikan yang baik, pelabur yang sanggup meneroka bidang baharu di dalam negara dan hasil penyelidikan yang bagus,” katanya.

Beliau memberi contoh Arab Saudi yang merupakan negara paling maju dari segi pendapatan negara, namun tidak mampu mengeluarkan produk sendiri.

“Kita tidak mahu menjadi seperti Arab Saudi yang mempunyai pendapatan tinggi namun senjata, pesawat dan sebagainya terpaksa dibeli daripada luar.

“Kita perlu tunjukkan kita ke hadapan bukan sahaja dari segi pendapatan negara, tetapi juga dalam semua lapangan,” katanya. – Sinar Harian Online

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.