Mat rempit tidak hormati azan Maghrib

KUALA LUMPUR – Sekumpulan penunggang motosikal bukan sahaja tidak menghormati undang-undang malah tidak menghormati azan maghrib berkumandang apabila sanggup melakukan aksi rempit di sekitar ibu kota.
image[1]
Dalam satu operasi yang diadakan sepasukan anggota dan pegawai Unit Penguat Kuasa Khas Trafik Kuala Lumpur di sini, petang kelmarin, dua remaja lelaki berusia 18 dan 19 tahun ditahan selepas melakukan aksi `wheelie’ di Jalan Raja Laut, berhampiran Dataran Merdeka.

Ketua Unit Kuat Kuasa Trafik Kuala Lumpur, Asisten Superintendan Ahmad Ridha Hariri berkata, dua remaja itu ditahan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya.

“Sebanyak 46 motosikal disita selepas 250 motosikal diperiksa dalam operasi yang tamat jam 12 pagi.

“Dalam pada itu, sebanyak 114 saman dikeluarkan ke atas penunggang motosikal yang melakukan pelbagai kesalahan jalan raya,” katanya pada sidang media di Balai Polis Trafik Jalan Tun HS Lee.

Operasi yang bermula jam 4 petang itu dijalankan setelah menerima aduan orang awam mengenai samseng jalan raya yang menguasai ibu kota apabila malam.

Perlakuan remaja bermotosikal ini membimbangkan orang awam apabila mereka turut berlumba sesama sendiri, sekali gus membahayakan nyawa pengguna lain.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.