Malaysia perlu bangunkan sistem radar sendiri

Mohamed Tarmizi

Mohamed Tarmizi

SHAH ALAM – Sudah tiba masanya Malaysia berhenti menggunakan kepakaran luar bagi meningkatkan keupayaan sistem radar pertahanan negara.

Penganalisis pertahanan, Muhammad Fuad Mohd Noor berkata, jaringan sistem radar pertahanan agak rumit dan jarang dibincangkan kerana ia nilai strategik sesebuah negara.

“Terdapat banyak jenis radar digunakan, ada yang pasif,  aktif dan awam. Memang menjadi keperluan bagi kita pertingkat keupayaan radar itu dari masa ke semasa,” katanya.

Menurutnya, melihat kepada situasi semasa, kerajaan perlu beri tumpuan kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D) kerana negara dilihat kurang mempunyai keupayaan dari segi pembangunan teknologi sistem seperti itu.
“Selama ini kerajaan kurang beri fokus kepada sistem radar ini kerana kosnya mahal dan komprehensif.

“Namun jika difikirkan kembali, sistem radar dan penggunaan pesawat udara berkait rapat. Contoh, kita mampu beli beberapa buah pesawat Sukhoi yang harganya berbillion ringgit, kenapa tidak kita belanja jumlah yang sama bagi membangunkan sistem radar kita sendiri,” katanya.

Beliau berkata, jika negara terlalu bergantung pada kepakaran luar, lebih banyak wang dibazirkan dan kemungkinan lebih buruk berdepan dengan ancaman musuh.

“Selalunya teknologi yang dibeli dari luar tidak bertahan lama,  contohnya kita beli sistem itu dari Eropah, mereka beri jaminan dua hingga empat tahun, selepas itu berlaku kerosakan atau nak tingkat upaya caj yang dikenakan lebih tinggi.

“Kelemahan kita adalah gagal menyelenggara sistem itu selepas ianya habis tempoh jaminan dan akhirnya dibazirkan terbiar menjadi gajah putih,” katanya.

Dari sudut lain pula, beliau menjadikan Iraq sebagai contoh, yang banyak bergantung pada kepakaran luar sehingga pada akhirnya pembekal sistem pertahanan negara itu menjadi musuh utama menyerang mereka.

“Berbeza dengan negara yang membangunkan sistem pertahanan mereka secara sendiri seperti Korea Utara, yang mana musuh-musuh mereka tertanya-tanya apakah sistem yang digunakan.

“Justeru, Malaysia juga perlu berani melangkah kehadapan untuk membangunkan sistem pertahanan sendiri khususnya radar ini,” katanya.

Menurutnya, tidak ada apa yang perlu dibanggakan jika kerajaan masih bergantung pada sistem dibeli dari luar walaupun harganya mencecah jutaan ringgit.

“Pembekal boleh sabotaj kita pada bila-bila masa, tiada jaminan bahawa maklumat yang dimiliki tidak akan dibocorkan,” katanya.

Isu radar ini mencari perbualan hangat khususnya di media sosial apabila ramai yang mempersoalkan kemampuan sistem yang ada berikutan gagal mengesan pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu.

Pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Aeroangkasa Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Mohamed Tarmizi Ahmad pula berkata, Malaysia mempunyai kemampuan untuk membangunkan sistem pertahanan sendiri kerana mempunyai tenaga pakar yang ramai.

“Kita ada ramai anak tempatan yang pakar dalam bidang ini sehingga ramai di antara mereka ‘dicuri’ oleh pihak asing bagi bekerja dengan mereka.

“Oleh itu, jika ada peruntukan dan fokus secara seirus dilakukan kerajaan, tidak mustahil untuk dibangunkan R&D dalam bidang ini,” katanya.

Menurutnya, terdapat syarikat tempatan yang bergiat dalam bidang ini kurang mendapat peluang di negara sendiri.

Terdahulu, Mohamed Tarmizi berkata, penting untuk industri aeroangkasa dibangunkan kerana bukan sahaja dapat memelihara kedaulatan negara, tetapi juga kekayaan negara.

“Bagus untuk kita memulakannya sekarang iaitu membangunkan remote sensing kita sendiri memandangkan satelit amat mustahak kepada negara dari segi keupayaan untuk mengawal sumber kita.

“Malaysia ada banyak sumber kekayaan termasuk pantai, perikanan dan semua hasil bumi ini perlu dijaga serta diuruskan sebaiknya,” katanya.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.