Madrasah runtuh lepas kuliah

JASIN – Seramai 15 jemaah kuliah tauhid di Madrasah Sheikhul Ariffien, Jalan Tambak Merlang 2, terselamat apabila bangunan yang menempatkan mereka runtuh dalam kejadian ribut selepas sejam mereka tamat kuliah, semalam.

Madrasah yang runtuh dalam kejadian ribut, semalam.

Madrasah yang runtuh dalam kejadian ribut, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah malam itu, bangunan yang siap 90 peratus itu turut menghempap sebuah kereta jenis Proton Iswara milik pentadbir madrasah berkenaan.

Pengerusi Persatuan Kebajikan Sheikh Ismail, Mohd Yusof Mohd Dan berkata, kuliah itu tamat pada jam 11 malam dan ketika kejadian kesemua jemaah keluar dari bangunan dan antaranya sudah pulang.

Menurutnya, sebelum ini, bangunan itu dirancang untuk dijadikan tempat pengajian pelajar tahfiz, namun pihaknya menggunakan lokasi itu sebagai tempat kuliah agama dan ruang solat sejak Ramadan lalu.

“Alhamdulillah nasib baik ketika kejadian kuliah sudah pun selesai dan ada di antara mereka beredar dan tiada yang berada dalam bangunan itu,” katanya.

Katanya, pembinaan madrasah itu masih dalam proses kelulusan pihak berkenaan dan kerja-kerja pembinaan sudah dimaklumkan kepada pihak berkuasa tempatan serta Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim).

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jasin Bestari, Mohamad Maskor Ahmad Thayar berkata, dua jentera dengan kekuatan sembilan anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

Menurutnya, siasatan awal mendapati bangunan yang dibina di kawasan ladang getah itu dipercayai runtuh kerana tiang utamanya tidak dapat menampung beban bumbung.

“Kita juga mendapati pihak berkenaan hanya guna skru untuk menyambung bumbung dan tiang. Kerugian dianggarkan RM200,000,” katanya.

Katanya, pihak madrasah kurang mementingkan ciri-ciri keselamatan termasuk penyambungan bekalan elektrik dari rumah penduduk.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.