‘Lembu Jatuh Perigi Pun Abang Boleh Selamatkan’

JOHOR BAHRU – Anggota bomba terpaksa mengambil masa hampir 20 minit untuk menyelamatkan seekor lembu betina yang terjatuh ke dalam sebuah perigi di Kampung Seberang Gajah, dekat Tangkak, hari ini.

Kejadian berlaku kira-kira 2 petang itu disedari penduduk kampung yang melalui kawasan perigi tersebut sebelum ternampak seekor lembu terperangkap di dalamnya.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tangkak, Pegawai Bomba Kanan II Malley Salim berkata penduduk kampung kemudian menghubungi bomba untuk meminta bantuan mengeluarkan lembu terbabit.

Seramai lapan anggota bomba dan sebuah jentera dihantar ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada 2.05 petang.

“Ketika tiba dilokasi pada jam 2.25 petang, kita mendapati seekor lembu betina tersepit pada bahagian dalam perigi yang dianggarkan berkedalaman 2.4 meter.

“Usaha untuk mengeluarkan lembu terbabit juga mengalami sedikit kesukaran berikutan saiz badan lembu berkenaan yang agak besar dan ruang perigi yang sempit,” katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Malley berkata, seorang anggota bomba terpaksa turun ke dalam perigi bagi mengikat badan lembu terbabit sebelum ia dapat ditarik keluar dengan selamat.

“Lembu betina dipercayai bukan lembu korban. Operasi tamat pada jam 3.15 petang tadi dan haiwan itu dalam keadaan baik,” katanya. – BERNAMA

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.