Lembu berkeliaran di bandar

Lembu yang berkeliaran di jalan raya memaksa pengguna berhenti seketika.

Lembu yang berkeliaran di jalan raya memaksa pengguna berhenti seketika.

TANJUNG TOKONG – Hampir lima minit beberapa pemandu di hadapan Kompleks Island Plaza kelam kabut seketika.

Kejadian itu berlaku bukan disebabkan kemalangan ataupun kerja penyelenggaraan jalan, tetapi disebabkan lembu berkeliaran di tengah jalan raya.

Kejadian yang berlaku sekitar jam 12 tengah malam itu bukanlah kali pertama berlaku, sebaliknya sebelum ini berlaku hanya pada waktu petang.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Tanjung Tokong, Mohd Asrul Ismail berkata, lembu-lembu berkenaan dipercayai diternak beberapa individu di Bagan Jermal.

Menurutnya, dia sendiri naik hairan bagaimana lembu berkenaan boleh berkeliaran di tengah-tengah kesibukan jalan raya di Tanjung Tokong tanpa pemiliknya.

“Saya sendiri dengan anak-anak terkejut pada dua hari lepas bila tengok lembu ini beratur panjang di jalan raya.

“Pada masa itu memang kereta yang sedang buat pusingan U dan melalui lampu isyarat terpaksa mengelakkan kawanan lembu ini untuk memberikan laluan, agak kelam kabut jugalah,” katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian pernah melaporkan jurugambar Radio Televisyen Malaysia (RTM) Pulau Pinang hampir kemalangan gara-gara lembu berada di tengah jalan raya.

Kebiasaannya kenderaan menghala ke Persiaran Gurney dari arah Tanjung Tokong lancar kerana kurang kenderaan.

Namun dia terpaksa brek mengejut kerana kira-kira 20 ekor lembu tanpa pemilik memenuhi jalan di Tanjung Tokong.

Kehadiran sekumpulan lembu berkenaan juga menjadi tanda tanya kepada pengunjung kedai nasi kandar berhampiran.

Sabaruddin Ali sebelum ini langsung tidak pernah ternampak lembu yang begitu banyak di situ.

“Jika hendak diikutkan memang susahlah hendak nampak lembu tengah bandar ini, memang agak berbahaya kerana lembu tersebut tidak dikawal oleh pemiliknya.

“Terasa agak lucu tetapi sebenarnya ia membahayakan pengguna jalan raya, bayangkan jika lembu ini menuju ke arah Plaza Gurney, sudah pasti kecoh,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Asrul menggesa supaya Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) mengambil tindakan dengan mencari pemilik lembu tersebut.

“Saman perlu dikenakan kepada pemiliknya kerana sesuka hati membiarkan lembu ternakan sehingga membahayakan keselamatan pengguna jalan raya.

“Jika pemiliknya masih degil, senang sahaja, MPPP boleh tangkap lembu ini dan lelong,” katanya.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.