Lelaki Cedera Parah Ditetak, Ditembak

Tembak-565x365Petaling Jaya – Seorang lelaki cedera parah dipercayai ditembak dua lelaki menaiki sebuah kereta di Jalan 2/28, Petaling Jaya, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa yang berusia 20-an dihantar ke Hospital Assunta dekat sini dengan bantuan seorang lelaki yang kebetulan melalui lokasi berkenaan.

Menurut seorang saksi kejadian yang enggan namanya disiarkan, mangsa yang menunggang motosikal dikatakan dilanggar kereta berkenaan sebelum diserang seorang daripada suspek.

Katanya, suspek menyerang mangsa menggunakan sebilah parang tetapi mangsa berjaya melarikan diri ke dalam kawasan sebuah rumah di jalan terbabit.

“Ketika itu kami sekeluarga belum tidur dan sedang menonton televisyen. Bimbang berlaku kejadian buruk, saya mematikan lampu dan segera menghubungi polis,” katanya.

Katanya, ketika sedang bercakap di telefon dia terdengar beberapa bunyi letupan seperti mercun dipercayai tembakan yang dilepaskan suspek ke arah mangsa.

“Mangsa masuk ke rumah sebelah terlebih dulu sebelum lari ke dalam kawasan rumah saya untuk menyelamatkan diri.

“Suspek kemudiannya melarikan diri manakala mangsa yang cedera keluar dari kawasan rumah saya dalam kesakitan sebelum dibawa ke hospital oleh seorang penunggang motosikal yang kebetulan lalu di situ,” katanya.

Katanya, pemeriksaan di kawasan rumahnya menemui sebilah parang dipercayai dibuang oleh suspek selain beberapa tompokan darah berhampiran kereta miliknya.

Difahamkan, saksi kejadian melihat dua lelaki berkenaan menaiki sebuah kereta namun gagal mengenal pasti nombor pendaftaran dan jenis kereta terbabit. – myMetro Online

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.