Lagi ahli MCA letak jawatan

BENTONG – Semua ahli MCA yang memegang jawatan dalam kerajaan negeri bermula dari peringkat kampung, diminta meletakkan jawatan mereka berkuat kuasa 6 Mei.

Khai Mun (tengah) mempengerusikan mesyuarat khas di Wisma MCA Negeri.

Khai Mun (tengah) mempengerusikan mesyuarat khas di Wisma MCA Negeri.

Timbalan Pengerusi MCA Negeri, Datuk Hoh Khai Mun berkata, keputusan itu dibuat bagi menghormati resolusi pucuk pimpinan MCA Pusat dalam mesyuarat perwakilan khas sebelum ini.

Katanya, perwakilan khas MCA sebelum ini mengumumkan untuk tidak menerima sebarang jawatan sama ada di peringkat kampung hingga persekutuan sekiranya parti itu mencatatkan keputusan lebih buruk berbanding Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008.

Justeru katanya, mereka akur dengan resolusi tersebut dan mengambil keputusan meletakkan jawatan.

“EGM (mesyuarat) tersebut memutuskan sekiranya wakil daripada MCA yang bertanding pada PRU13 mendapat kerusi kurang daripada PRU12, kami tidak akan menerima apa-apa jawatan.

“Ini adalah cara demokrasi dan kami perlu menghormati keputusan undi PRU kali ini. Sebab itu, kami secara rasmi perlu meletakkan jawatan,” katanya dalam sidang media di Wisma MCA Negeri, dekat sini.

Khai Mun berkata, semua surat peletakan jawatan ahlinya di peringkat bahagian perlu diserahkan kepada peringkat negeri secepat mungkin sebelum dihantar ke Pusat.

Katanya, mereka akan membuat keputusan menerima kembali jawatan itu jika dilantik semula sekiranya selaras dengan pertimbangan pucuk pimpinan tertinggi parti.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, walaupun semua ahli meletakkan jawatan dalam kerajaan, namun semua cawangan MCA di negeri ini akan dibuka menjadi pusat khidmat masyarakat.

Katanya, pusat khidmat masyarakat itu akan memudahkan penduduk menyampaikan aduan dan menguruskan pelbagai urusan berkaitan.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.