Kuliah Ustaz Azhar Idrus tarik orang muda

JASIN – Kira-kira 6,000 hadir pada Program Jom Kuliah Ustaz Azhar Idrus (UAI) yang dianjurkan di Dataran Hamas, dekat sini malam kelmarin.
Ustaz-Azhar-Idrus-Pendakwah-Bebas
Pengarah program, Zainudin Abd Latif berkata, biarpun julung kali dianjurkan di Dataran Hamas, namun sambutan yang diterima begitu menggalakkan.

Menurutnya, program ini sebagai penyuntik semangat untuk pihaknya merancang pelbagai  program keagamaan lain.

“Kehadiran orang ramai membuktikan kita sebenarnya masih dahagakan ilmu ALLAH dan berharap dapat terus merencana program seumpama ini pada tahun depan.

“Saya berharap orang ramai terutama golongan  muda akan terus memberi sokongan dalam apa jua program bermanfaat yang dianjurkan Pas sama ada Pas Kawasan Jasin mahupun Pas Negeri,” katanya kepada Sinar Harian.

Hadir sama, Yang Dipertua (YDP) Pas, Jasin Kamarudin Sidek; Timbalan YDP Pas Jasin, Yuhaizad Abdullah; Ketua Pemuda Pas Jasin, Yuzi Azhar dan Ketua Dewan Muslimat Pas Kawasan Jasin, Shopiah Ahmad.

Tambah Zainudin, sebanyak RM13,000 diterima melalui sumbangan orang ramai dan gerai jualan dan kutipan itu akan disalurkan bagi membantu anak yatim dalam Parlimen Jasin.

Menyedari ada dalam kalangan mereka yang kurang bernasib baik, tanpa mengira apa pun fahaman ideologi politik, pihaknya akan turun padang dan mengenal pasti individu yang benar-benar memerlukan.

“Setiap Dun kita akan pilih 10 orang dan ini bukan sahaja untuk ahli Pas malah sesiapa pun kita akan bantu bagi meringankan beban mereka membuat persediaan untuk sesi persekolahan akan datang.

“Terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan program kami dan program yang direncanakan akan dilaksanakan pada Disember depan Insya-ALLAH,” katanya.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.