Kisah ‘anak luar nikah’

image (1)MENYUSULI Janji Jaslina, saksikan drama bersiri terbaharu, Fajar Aiman terbitan Suhan Movies yang akan mengisi slot Azalea TV3 bermula 5 Mei, setiap Isnin hingga Khamis jam 4 petang.

Drama bersiri 20 episod arahan Hashim Rejab dengan nukilan skrip oleh Sharifah Abu Salim membariskan pelakon-pelakon handalan tanah air seperti Faralyna Idris (Nur Fajar), Syarul Ridzwan (Aiman), Farah Ahmad (Erma), Fauzi Nawawi (Suffian), Watie Sadali (Najwa) dan Azhan Rani (Shafie).

Fajar Aiman mengisahkan satu pasangan kekasih Erma dan Suffian yang bercinta pada 20 tahun yang lalu, kemudiannya terlanjur sehingga Erma mengandung anak luar nikah.

Ibu Suffian, Mariah memilih Najwa untuk dikahwinkan dengan anaknya, tanpa pengetahuan bakal menantunya itu turut menyimpan sejarah hitam.

Pernah mengamalkan cara hidup bebas, Najwa telah melahirkan anak luar nikah, Aiman yang ditinggalkan bersama bekas orang gaji keluarganya, Mak Som.

Sementara itu, Erma pula bertemu jodoh dengan Shafie, anak sedara Mak Som selepas dia melahirkan anak luar nikah yang dinamakan Fajar dan turut membesar Aiman seperti anak mereka.

Setelah Fajar dan Aiman menginjak usia remaja, mereka mula jatuh cinta namun mampukah cinta mereka bersatu apabila hubungan kekeluargaan menghalang mereka.

Pengarahnya, Hashim Rejab berkata Fajar Aiman berkisar mengenai individu yang pernah melakukan kesilapan kemudiannya menyesal dan bertaubat di atas kekhilafan mereka.

“Setiap manusia pernah melakukan kesalahan lampau dan kisah yang diterap dalam drama ini pula berkenaan anak luar nikah.

“Ia merupakan satu topik ‘taboo’ sejak dari dahulu lagi. Fajar Aiman lebih kepada nasib anak tak sah taraf yang dibuang dan disisihkan oleh keluarga sendiri,” katanya yang menjalani penggambaran sekitar Kuala Lumpur, Bangi dan Sijangkang.


Hashim puji lakonan Syarul

Sementara itu, pemilihan pelakon utama Faralyna Idris dan Syarul Ridzwan merupakan percubaan pertama stesen TV3.

Menurut Hashim, pelakon dipilih stesen TV dan dia tidak mempunyai masalah dengan gandingan pelakon lama dan baharu itu.

Jelasnya, Faralyna mempunyai kelebihan tersendiri apatah lagi pengalaman lebih luas berbanding Syarul, kali kedua menerajui drama.

Untuk pengetahuan, Syarul pernah muncul dalam drama Romie Cinta Julia memegang watak utama.

Katanya, prestasi Syarul sebagai pelakon baharu amat memuaskan dan tiada masalah berbangkit timbul.

“Saya sangat berpuas hati dengan lakonan Syarul dan dia mungkin bakal menjadi hero pilihan ramai.

“Lagipun keserasian yang ditonjolkan antara mereka wajar dipuji,” katanya.


Kejar dateline

Bercerita mengenai cabaran yang dihadapinya, Hashim berkata dia dan kru produksi terpaksa berkejar ke lokasi kerana kekangan masa.

Katanya, setiap penggambaran perlu dilakukan mengikut jadual yang ditetapkan agar tiada sebarang masalah timbul.

“Alhamdulillah, walaupun kami terpaksa ke sana ke mari dalam tempoh yang agak singkat namun semuanya berjalan dengan lancar.

“Semuanya gara-gara mengikut dateline yang telah disediakan supaya jadual artis dengan penggambaran tidak bertindih,” ujarnya yang mengambil masa 55 hari untuk menyiapkan drama tersebut.

Dalam masa yang sama, dia juga perlu berhati-hati agar masyarakat tidak tersinggung dengan jalan cerita yang ditampilkan menerusi drama baharunya itu.

Tegasnya, karakter yang dicipta perlu santai supaya batas-batas tidak menjadi isu di kemudian hari.

“Kisah anak luar nikah merupakan satu perkara serius dan tidak boleh dipandang enteng. Justeru itu saya perlu menjadikan drama ini supaya dialog tidak keterlaluan.

“Lagipun, slot Azalea lebih kepada kekeluargaan dan sesuai ditonton setiap lapisan masyarakat,” katanya.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.