Khalid keluar dewan, tidak sempat dengar azmin bentang bajet

Khalid_Ibrahim
Shah Alam – Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dilaporkan meninggalkan sidang DUN Selangor kira-kira jam 11, sebelum sempat penggantinya, Azmin Ali membentangkan Bajet 2015.
Tindakannya meninggalkan dewan yang baru hari ini memulakan persidangan bagaimanapun tidak dihidu pemberita yang bertugas. Beliau juga dikatakan tidak menegur sesiapa dan terus meninggalkan bangunan Annex.
Ini adalah kali pertama Khalid menghadiri sesi pembentangan bajet sebagai seorang wakil rakyat biasa.
Khalid tentunya mengetahui beliau akan menjadi sasaran media akibat kontroversi bayaran pampasan kepada lapan pembantu khasnya yang bernilai RM2.6 juta.
Terdahulu ketika ditemui Antarapos beliau memberitahu pembayaran itu dibuat mengikut prosedur dan mengalu-alukan siasatan dilakukan terhadap transaksi itu.
Namun Azmin baru-baru ini mendedahkan bayaran pampasan itu bukan sahaja membabitkan nilai yang tinggi malah ia  juga melanggar prosedur yang ditetapkan.
Katanya, Jabatan Audit Negara memberitahu bayaran itu dibuat dalam tempoh yang singkat dan tergesa-gesa.
“Ya, terlalu jelas wujud salah guna kuasa bukan sahaja dari segi jumlah malah proses pemberian pampasan.
“Penyaluran ganti rugi kepada lapan orang ahli lembaga MBI itu dilakukan serta merta dan ia jelas meragukan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES), di sini, petang semalam.
Media sebelum ini melaporkan bekas Ketua Eksekutif (CEO) MBI, Faekah Husin menerima hampir RM700,000 sementara setiausaha akhbar Khalid, Arfa’eza Abdul Aziz menerima sejumlah RM400,000 manakala setiausaha politiknya pula, Mustapa Mohd Talib menerima pampasan bernilai RM265,000.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.