Khairy Terima Perletakan Jawatan Revington

PUTRAJAYA – Majlis Sukan Negara (MSN) bersetuju dengan peletakan jawatan Paul Revington sebagai ketua jurulatih ketika skuad hoki negara menghadapi saingan Piala Dunia 2014 di Belanda, Mei ini.

FW311323_PTJ01_200114_KJ_ADAM-lpr-565x423Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata MSN, selaku majikan, menerima keputusan jurulatih kelahiran Afrika Selatan itu selaras dengan keputusan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).

“(Tetapi kali ini), kita nampak macam beliau sudah tiada semangat untuk terus bersama kita,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian kontrak antara pelumba go-kart, Adam Haikal Mazrul Haizad dan ART Grand Prix di pejabatnya di sini hari ini.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada Revington atas sumbangannya sejak membimbing skuad hoki negara pada Oktober 2012, Khairy berkata skuad negara perlu melihat ke hadapan dengan menumpukan perhatian terhadap banyak kejohanan penting tahun ini.

Beliau berkata pembantu jurulatih skuad senior, Muhammad Dharma Raj Abdullah akan mengisi jawatan Revington.

Revington menghantar surat peletakan jawatannya kepada MHC Jumaat lepas, sehari selepas menghadiri sidang media bagi mengumumkan pemilihan 35 pelatih skuad negara.

Ini merupakan kali kedua Revington melepaskan jawatannya selepas dikatakan tidak berpuas hati dengan campur tangan Dharma Raj yang juga bekas jurulatih skuad Projek 2013 dan Pengarah Pembangunan Hoki 1MAS, Lim Chiow Chuan pada Jun tahun lepas.

Bagaimanapun, Revington menarik balik keputusannya selepas mengadakan perbincangan dengan Khairy.

Mengulas lanjut, Khairy berkata sebelum ini beliau ‘campur tangan’ dalam urusan skuad hoki negara kerana pada masa itu terlalu dekat dengan psuingan kelayakan Piala Dunia.

Selain kempen Piala Dunia di The Hague, Belanda, dari 31 Mei hingga 15 Jun ini, skuad negara juga akan menghadapi beberapa kejohanan penting termasuk Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, Perak dari 13 hingga 23 Mac, Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland (23 Julai-3 Ogos) dan Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan, dari 18 Sept hingga 27 Okt. – BERNAMA

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.