Kes Sweden : Masuk Hari Ketiga, Ammar Dakwa Dipukul Dengan Tali Pinggang

Kes_Pasangan_Malaysia_Di_Sweden-565x375ANAK lelaki sulung pasangan suami isteri warga Malaysia yang didakwa di Sweden terus membuat kejutan dengan beberapa pengakuan dipukul pasangan itu pada hari ketiga perbicaraan semalam.

Dalam satu video yang ditayangkan oleh pendakwaraya Anna Arnell, Ammar yang ditemubual pegawai penyiasat dilihat tidak memerlukan banyak soalan untuk terus mengeluarkan kenyataan.

Pegawai Tourism Malaysia di Stockholm, Sweden Azizul Raheem Awaluddin dan isterinya Shalwati Norshal kini sedang dibicarakan atas tuduhan memukul anak mereka sejak 2010.

Dalam video itu, Ammar mendakwa kakak sulungnya, Aishah, 14 tahun, selalu dipukul kerana mempunyai tabiat suka mencuri coklat dari bilik ibu bapa mereka yang dikatakan berlaku pada setiap bulan.

Dalam satu lagi insiden, Ammar mengaku dipukul menggunakan tali pinggang kulit milik Azizul oleh ibunya setelah dia tidak berhenti mengeluh dan mengomel apabila diminta mencuci bilik air, memetik laporan portal Astro Awani.

“Rasa seperti ada darah keluar dari kaki saya. Saya juga rasa seperti ada air panas mengalir ke hujung kaki. Tali pinggang itu dibuat dari kulit. Ia milik ayah saya dan ia berwarna coklat,” ujarnya.

Peguam Shalwati, Kristofer Stahre berkata, kenyataan Ammar sangat tidak konsisten dengan kenyataan daripada saksi-saksi lain dan boleh menjadi satu kelebihan untuk pihak pembelaan.

Ammar turut menceritakan satu kejadian ketika dia berusia lapan tahun di mana dia telah dicubit berhampiran kemaluannya oleh Shalwati.

Ammar bagaimanapun gagal mengingati punca dia dihukum sedemikian namun yakin ibunya tidak akan mengulangi hukuman itu.

Dalam pada itu, Ammar yang kini berusia 12 tahun turut memberitahu bahawa dia pernah terdengar ibunya mencadangkan kepada Azizul untuk membiarkan dia sahaja yang memukul anak-anak bagi mendisiplikan mereka.

Alasan Shalwati ketika itu ialah kerana Azizul memukul anak-anak mereka terlalu kuat sehingga mereka menangis dengan lebih kuat namun ia berbeza sekiranya Shalwati yang memukul mereka.

Ammar berkata perbualan itu didengarinya ketika melintasi bilik ibu bapanya.

Anak kedua pasangan itu bagaimanapun masih menunjukkan penyesalan apabila bertanya bilakah ibu dan bapanya akan dibebaskan pada permulaan video tersebut.

“Ia adalah satu masa yang panjang. Sudah empat minggu berlalu dan rasa janggal tidak melihat mereka sekian lama. Saya mahu ibu bapa saya berada di rumah dan kami akan baik-baik sahaja bersama-sama,” tambahnya.

Azizul dan Shalwati telah ditahan sejak Disember tahun lalu kerana dipercayai mendera keempat-empat anak mereka yang kini berada dalam jagaan ibu saudara di Kelantan.

Kesemua mereka dibawa pulang dari Sweden oleh Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin, pada awal bulan ini.

Anak sulung pasangan tersebut, Aishah, 14, dan Ammar kini bersekolah di SMK Padang Kala sementara Adam, 11 dan Arif pula menuntut di SK Padang Kala, Kota Bharu.

Perbicaraan tersebut dijangka akan memakan masa sehingga 10 hari di Mahkamah Daerah Solna di Stockholm.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.