Kerana bertudung, nama disingkir dari buat persembahan

SEMAKIN ramai artis kita yang mengambil pendekatan untuk melakukan hijrah dan pastinya, ia adalah suatu perkara yang positif apatah lagi ia memang dituntut dalam diri setiap individu yang mengaku beragama Islam.

Siti Nordiana

Siti Nordiana

Namun bukanlah perkara asing apabila ada segelintir pihak yang memandang ringan penghijrahan mereka dan perkara tersebut turut berlaku pada penyanyi, Siti Nordiana atau lebih mesra disapa dengan panggilan Nana.

“Sebolehnya saya tidak mahu bercerita berhubung perkara ini kerana ia bukanlah suatu perkara yang manis tetapi apabila ada pihak bertanya, tidak salah rasanya kita berkongsi.

“Perkara ini berlaku pada sambutan Aidilfitri yang lalu di negara jiran, pada mulanya nama saya sudah tersenarai sebagai salah seorang penyanyi yang akan membuat persembahan.

“Tetapi pada waktu tersebut, mereka tidak tahu saya sudah berhijab, jadi beberapa hari sebelum tarikh persembahan mereka meminta saya untuk membuka tudung dan pastinya saya tidak bersetuju dengan permintaan mereka.

“Disebabkan itu juga, nama saya digugurkan pada saat-saat akhir. Saya tidaklah berasa kecewa atau terkilan kerana saya percaya, rezeki ada di mana sahaja dan yang penting adalah usaha kita,” jelasnya.

Nana ditemui sewaktu majlis Fitrah Qurban yang dianjurkan oleh kumpulan Usrah Fitrah bertempat di Masjid Jamiul Ehsan, Kampung Kubu Gajah, Sungai Buloh bersempena sambutan Aidiladha baru-baru ini.

Nana yang kini berusia 29 tahun berkata, setelah berhijrah dengan memakai tudung sejak penghujung tahun 2011 lalu, dia dapat merasakan dirinya lebih dihargai oleh masyarakat khususnya peminat.

“Jujur saya katakan terdapat perbezaan sewaktu sebelum bertudung dan selepas, kerana sebelum bertudung dahulu masyarakat tidak ramai yang mengenali siapa saya.

“Tetapi selepas bertudung, pengiktirafan dan penghargaan itu jauh berbeza dan ini menguatkan lagi hati dan semangat saya untuk terus berubah ke arah kebaikan,” katanya.

Nana juga mengatakan dia sedang dalam proses melancarkan single baru namun sedang mencari pasangan duet sesuai untuk projek tersebut.

Selain itu, penyanyi yang popular dengan lagu seperti Gurauan Berkasih dan Bakawali ini juga terlibat dengan program Shoutul Quran yang akan disiarkan di TV9 awal tahun hadapan.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.