Kerajaan terus komited banteras rasuah

imageKUALA LUMPUR – Penerbitan kontrak rundingan terus secara online merupakan antara inisiatif dan komitmen kerajaan untuk membasmi gejala rasuah, demikian menurut laporan tahunan Program Transformasi Kerajaan (GTP) 2013.
    
Bermula Disember tahun lepas, Kementerian Kewangan dikehendaki menyiarkan kesemua kontrak rundingan terus kecuali kontrak keselamatan dan strategi di portal MyProcurement.
    
Portal itu diwujudkan sebagai satu laman sehenti yang akan memberikan gambaran keseluruhan dengan menyiarkan semua tender kerajaan dan bidaan yang berjaya untuk terus menggalakkan ketelusan dan akauntabiliti dalam perbelanjaan kerajaan.
     
Setakat ini, 50 urus niaga kerajaan yang dirunding secara terus disiarkan dalam talian, hasil kerjasama berterusan Kementerian Kewangan, menurut laporan itu.
    
Portal itu merupakan hasil inisiatif ‘Membanteras Rasuah’ di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) menerusi GTP, bertujuan untuk memastikan keseragaman dalam penyebaran maklumat berkaitan perolehan kerajaan.
    
Menurut laporan itu, penerbitan kontrak rundingan terus ini akan membantu memastikan Kementerian Kewangan melantik vendor dengan harga yang kompetitif berdasarkan merit dan keupayaan vendor tersebut.
    
Nyata, insiatif portal MyProcurement membawa pencapaian seratus peratus serta memberi kesan yang ketara dalam menghapuskan jenayah rasuah.
    
Sebagai langkah ke hadapan, kerajaan kini sedang menggubal garis panduan yang akan menyediakan nasihat bagi orang tengah dan pelobi ketika mereka berurusan dengan kerajaan, dan dijangka siap tahun ini.
    
Laporan itu turut menyatakan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International bertambah baik apabila meningkat satu lagi tahap daripada kedudukan 54 kepada kedudukan 53.
    
Ini membuktikan usaha-usaha yang dilaksanakan seperti transformasi proses laporan Ketua Audit Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membanteras amalan rasuah membuahkan hasil. – Bernama

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.