Kerajaan Selangor nafi lulus lesen lombong batu kuartza

SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor hari ini menafikan pihaknya meluluskan pemberian lesen perlombongan batu kuartza kepada mana-mana pihak di sepanjang lima kilometer Permatang Kuartza Klang Gates, di Gombak.

Abdul Khalid Ibrahim

Abdul Khalid Ibrahim

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mendakwa aktiviti perlombongan terbabit yang sedang berjalan di kawasan itu dijalankan secara haram dan dipercayai berlaku pencerobohan di kawasan hasil mineral milik Kerajaan Negeri.

“Aktiviti perlombongan kuartza yang ada di kawasan Permatang Kuartza di daerah Gombak seperti yang dilaporkan oleh media semalam adalah aktiviti haram.

“Walaupun mendapat banyak permohonan dari syarikat dalam dan luar negara termasuk China, Jepun dan Korea, Kerajaan Negeri Selangor tetap tidak akan mengeluarkan lesen bagi menjayakan usaha untuk mendapat pengiktirafan sebagai Taman Warisan Dunia daripada Unesco,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Selangor di Pejabat Kerajaan Negeri, di sini, hari ini.

Susulan pencerobohan itu katanya, kerajaan negeri telah mengarahkan Jabatan Mineral dan Geosains menyediakan laporan terperinci jumlah batu kuartza yang telah dikeluarkan dari kawasan itu  dan kerosakkan akibat perlombongan haram tersebut.

Katanya, laporan itu dijangka disiapkan dalam tempoh dua minggu bagi memberi peluang pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut termasuk mengenal pasti kawasan batu kuartza yang mungkin telah diceroboh.

“Kita juga telah mengarahkan Pejabat Tanah dan Daerah Gombak serta Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Langat supaya meningkatkan pemantauan di kawasan Permatang Kuartza.

“Mereka yang didapati terlibat menjalankan perlombongan haram ini boleh didakwa atas kesalahan menjalankan perlombongan tanpa lesen, menceroboh dan mencuri,” katanya.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.