Kerajaan ada kuasa tak naikkan tol

SHAH ALAM – PKR mendakwa kerajaan mempunyai kuasa untuk tidak menaikkan kadar tol ekoran sebahagian besar pemegang konsesi lebuh raya utama negara ini dikuasai anak-anak syarikat milik kerajaan.

Rafizi Ramli

Rafizi Ramli

Pengarah Strateginya, Rafizi Ramli menepis kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar yang menyebut kenaikan tol pada tahun depan sebahagian daripada perjanjian konsesi yang dimeterai kerajaan.

“Alasan yang diberikan oleh beliau itu dangkal terutamanya apabila sebahagian besar daripada pemegang konsesi lebuh raya utama di negara ini dikuasai oleh anak-anak syarikat milik kerajaan.

“Oleh kerana pemegang konsesi adalah anak-anak syarikat milik kerajaan, Kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa dan pengaruh untuk merunding semula terma-terma perjanjian untuk tidak menaikkan tol,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, dua daripada tiga kumpulan terbesar pemegang konsesi lebuh raya adalah dikuasai agensi kerajaan iaitu Projek Lebuh raya Utara Selatan (Plus) dan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (Prolintas).

“Plus dikuasai sepenuhnya oleh agensi-agensi kerajaan iaitu Khazanah dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Prolintas adalah anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) iaitu agensi amanah saham milik kerajaan.

“Hanya Gamuda yang merupakan syarikat swasta tetapi agensi-agensi kerajaan seperti KWSP, Tabung Haji, KWAP, unit-unit Amanah Saham dan lain-lain mempunyai sekurang-kurangnya 22.59 peratus pegangan (berdasarkan pemilikan saham akhir tahun 2010) di dalam Gamuda yang menjadikan Kerajaan Persekutuan sebagai salah satu pemegang saham terbesar Gamuda melalui pelbagai agensinya,” katanya.

Tambah Rafizi, Abdul Wahid memberi gambaran salah berhubung kenaikan kadar tol tersebut.

“Sebahagian besar konsesi tol di negara ini mendapat bantuan kewangan penuh kerajaan semasa pembinaan. Kerajaan memberikan bantuan seperti subsidi kewangan untuk pengambilan tanah, pembiayaan mudah melalui Bank Pembangunan atau pun geran kewangan kepada pemegang-pemegang konsesi untuk membina lebuh raya.

“Contohnya, Lebuhraya Maju Expressway (MEX) dibina hampir sepenuhnya menggunakan geran kewangan kerajaan berjumlah RM976.7 juta hingga membolehkan pemegang konsesinya membuat pinjaman kecil sahaja untuk menyiapkan lebuh raya tersebut.

“Sebab itu saya menyanggah kenyataan beliau yang memberi gambaran salah bahawa kenaikan tol tidak dapat dielakkan kerana perjanjian konsesi dimeterai dengan syarikat swasta,” katanya.

Tambahnya, “alasan bahawa kenaikan tol tidak dapat dielakkan kerana perjanjian yang dimeterai dengan swasta tidak dapat diterima kerana sebahagian besar konsesi tol dikuasai oleh kerajaan sama ada secara langsung atau tidak langsung.”

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.