Keputusan Tsu Koon lepas jawatan dihormati

SHAH ALAM – Pemimpin dan ahli Gerakan Selangor menghormati keputusan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon yang mengumumkan akan melepaskan jawatannya sebagai Presiden Gerakan berkuat kuasa 16 Mei ini.

Dr Koh Tsu Koon

Dr Koh Tsu Koon

Pengerusi Gerakan Negeri, Datuk A Kohilan Pillay berkata, pihaknya akan meneruskan perjuangan membantu rakyat walau siapa pun memegang jawatan nombor satu parti itu kelak.

“Jawatan Tan Sri Tsu Koon akan dipangku Timbalan Presiden Gerakan, Datuk Chang Ko Youn sehingga pemilihan parti pada Oktober ini.

“Ini memang tradisi parti apabila presiden letak jawatan selepas 18 bulan daripada tempoh pemilihan sebelum ini, timbalan (presiden) akan jadi pemangku,” katanya ketika diminta mengulas berhubung pengumuman peletakan jawatan Tsu Koon sebagai Presiden Gerakan.

Keputusan itu dibuat kerana rasa bertanggungjawab atas kekalahan buruk parti itu pada PRU13, Ahad lalu.

Dalam pada itu, Kohilan yang juga Naib Presiden Gerakan berkata, jawatankuasa Gerakan di setiap negeri akan mula turun ke cawangan masing-masing bermula bulan depan bagi mendapatkan pandangan mereka untuk mengukuhkan organisasi supaya diterima masyarakat.

“Dalam PRU13 lalu, tsunami berlaku. Kemarahan rakyat kepada MCA dan Gerakan di mana pengundi semua tolak calon kita. Ia memberi tamparan hebat kepada parti.

“Sekarang, kita akan turun ke cawangan untuk dengar apa kehendak mereka kerana mereka lebih tahu apa yang dimahukan oleh rakyat di kawasan masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Gerakan Subang, Francis Chong menyifatkan tindakan Tsu Koon itu sebagai bertanggungjawab terhadap parti.

“Kita terima dengan hati terbuka. Ini soal parti, kita semua sepatutnya kena bertanggungjawab memulihkan imej parti. Kita berharap supaya kepimpinan Gerakan yang baru nanti dapat membangunkan parti.

“Untuk di Subang, kita akan terus berkhidmat kepada rakyat sehinggalah pemilihan ketua bahagian yang baru nanti,” katanya.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.