Kenduri kahwin bertukar majlis tahlil

 

Kakak Norfaizah, Merduwati menunjukkan kad perkahwinan adiknya bertemakan Kit Kat. Gambar kecil: Norfaizah tidak mampu menahan kesedihan.

Kakak Norfaizah, Merduwati menunjukkan kad perkahwinan adiknya bertemakan Kit Kat. Gambar kecil: Norfaizah tidak mampu menahan kesedihan.

KUALA KEDAH – Majlis pernikahan Lans Koperal Mohd Azuan Abdullah, 25, di Kampung Batas Paip, Lorong Air Masin, di sini, yang dijadualkan berlangsung hari ini, bertukar menjadi kenduri tahlil.

Allahyarham Mohd Azuan meninggal dunia apabila motosikal Kawasaki Ninja Unit Ronda Bermotosikal (URB) dinaikinya dirempuh penjenayah di Jalan Bagan Serai-Alor Pongsu, Perak, seminggu lepas.

Meskipun suasana pilu menyelubungi kediaman keluarga tunangnya, Norfaizah Mohd Rejab, 22, namun majlis berkenaan diteruskan kerana persiapan perkahwinan lengkap.

Norfaizah berkata, kenduri mereka bertukar menjadi majlis tahlil kerana segala persiapan termasuklah barang hantaran, jemputan kahwin dan katering sudah dibuat.

Antara tetamu jemputan dalam majlis perkahwinan berkenaan adalah ahli keluarga, saudara mara terdekat serta rakan Norfaizah.

Maka, tempahan katering makanan akan menjadi jamuan makan untuk tetamu mereka, manakala cenderamata tetap akan diedarkan kerana didakwa itulah kemahuan arwah.


Tema merah, kit kat jadi pilihan

Katanya, arwah Mohd Azuan memilih sendiri tema warna merah dan kad perkahwinan berkonsepkan coklat Kit Kat untuk perkahwinan mereka di sini.

“Kami membeli barang perkahwinan bersama-sama, manakala bunga telur, cenderamata tetamu dan gubahan hantaran dilakukan olehnya sendiri.

“Sebenarnya, semua persiapan sudah siap sepenuhnya. Baju pun sudah dicuba. Hanya tunggu masa hari perkahwinan sahaja,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, arwah berusaha menyiapkan tujuh dulang hantaran sendirian, malah meluahkan hasrat untuk menambah tiga tambahan hantaran buat Norfaizah.

Namun, katanya, dia tidak menyangka perkenalan mereka empat tahun lepas atas bantuan rakan yang diharapkan berakhir ke jinjang pelamin tidak kesampaian.


Suka beri kejutan

Meskipun arwah Mohd Azuan dikatakan agak pendiam, namun Faizah menyifatkan tunangnya penyayang, disenangi ramai, rajin dan  komited dalam kerja.

Dengan nada sayu, Norfaizah berkata, Mohd Azuan sememangnya gemar membuat kejutan menggembirakan buat dirinya, sekali gus menjadi memori indah untuknya kenangan selepas ini.

“Sebagai contoh, majlis pertunangan kami pada Januari lepas. Malah, majlis perkahwinan juga dipercepatkan berbanding perancangan awal mereka sebelum ini,” katanya.

Katanya, arwah tunangnya tidak pernah lupa untuk memberikan cenderamata dan hadiah untuknya apabila pergi ke mana-mana sekalipun.

“Antaranya, anak patung beruang. Kini, kesemua hadiah berkenaan menjadi tanda kenangan antara kami, sekali gus menjadi tempat saya melepaskan kerinduan untuknya,” katanya.

Meskipun tidak dapat menahan perasaan sedih kehilangan insan disayanginya, katanya, dia reda dengan ketentuanNYA.

Norfaizah berkata, dia akan menziarahi kubur Mohd Azuan nanti, apabila selesai menenangkan dirinya selepas kematian tunangnya itu.

“Buat masa ini, saya ingin berehat dan ambil masa melupakan kesedihan ini. Saya juga sudah berhenti kerja kilang di Pulau Pinang. Selepas keadaan pulih, barulah saya cari kerja di sini,” katanya.

Sebelum ini, katanya, dia tidak mampu mengiringi jenazah Mohd Azuan untuk dikebumikan di kampung halamannya di Kulaijaya.

“Saya terlalu sedih ketika itu, jadi ibu tidak mengizinkan ke sana.

“Bagaimanapun, saya sempat menatap wajahnya buat kali terakhir,” katanya.

Jenazah Mohd Azuan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu 27, Johor, kira-kira jam 10.10 pagi pada 28 Mei lepas.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.