Kenapa gugur Muhyiddin? Rakyat tanya Najib

image (11)

SHAH ALAM – Pengumuman rombakan barisan Kabinet yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menggugurkan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menimbulkan tanda tanya rakyat meskipun ada yang menjangka perkara itu akan berlaku.

Sinar Online mendapatkan reaksi orang ramai sejurus pengumuman dibuat, hari ini.

Menurut Arman Putera Asmuni, 42, Najib perlu menyatakan alasan menggugurkan Muhyiddin kepada rakyat supaya rakyat dapat menerima keputusannya itu.

“Mudah sahaja. Kenapa (gugur Muhyiddin)? Jika dia (Najib) boleh jawab kenapa, kita boleh terimalah rasionalnya keperluan menukar timbalan perdana menteri. Sebab (Muhyiddin) tidak sakit atau masalah kesihatan dan tidak ada kes besar yang dilaporkan secara rasmi terhadapnya, jadi, soalan saya, kenapa?

“Yang lain-lain juga kenapa ditukar portfolio dan digugurkan? Jika beliau boleh tampil dan jelaskan ‘saya gugurkan pemimpin yang ini kerana alasan ini’, rakyat boleh terima,” katanya kepada Sinar Online, hari ini.

Najib dalam sidang media secara langsung menjelaskan tindakan beliau menggantikan Muhyiddin itu sememangnya ‘sukar’ namun keputusan dibuat demi memperkuatkan lagi jemaah menteri sebelum menghadapi Pilihan Raya ke-14.

Namun, desas-desus menyebut pengguguran itu ada kaitan dengan kelantangan Timbalan Presiden Umno itu dalam mengkritik skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Namun, Arman Putera dilihat tidak terkejut dengan keputusan itu dan sudah menjangkakan ia akan berlaku susulan beberapa tindakan Muhyiddin sebelum ini yang mengkritik 1MDB.

“Jangkaan itu ada. Saya tidak terkejut, cuma seperti saya kata tadi, mesti ada alasan kenapa gugurkan, kenapa ditukar?,” katanya.

Perkara sama turut disuarakan Vanishree Radha Krishna, 37, yang mengakui tidak terkejut langsung dengan rombakan itu dan sudah pun menjangkakan perkara itu.

Namun katanya, Najib tidak sepatutnya terus ‘menghapuskan’ Muhyiddin apabila pemimpin itu dilihat tidak memihak kepadanya dalam skandal 1MDB.

“Sepatutnya Muhyiddin daripada awal kena bela rakyat bukan hanya pada masa ini sahaja (melibatkan skandal 1MDB). Sebelum ini pun, ada banyak lagi isu lain tapi masih belum terlambat. Mungkin sekarang beliau dah sedar. Terlalu banyak isu timbul dia rasa makin lama rakyat Malaysia dianaktirikan.

“Mungkin suara hati dia merasakan ini semua tak betul dan dia mula bersuara. Sepatutnya beliau diberikan kebebasan, tak bolehlah terus ‘shut him off’. Apa yang Najib buat sekarang ini memang ‘very clear cut’,” katanya.

Vanishree juga kesal apabila isu perkauman dibangkitkan sejak kebelakangan ini yang didakwanya bagi menutup isu atau skandal yang didedahkan.

“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini banyak isu perkauman dibangkitkan tapi realitinya ketiga-tiga bangsa utama di negara ini tidak ada gaduh. Saya tak pernah gaduh dengan Melayu atau Cina malah saya tinggal di kawasan yang pelbagai kaum.

“Saya lihat kes-kes perkauman seperti diadakan. Kami sayang negara ini dan nak tinggal di sini dengan menyayangi kaum lain seperti adik-beradik. Boleh dikatakan ahli politik di negara ini… tapi bukan semua, tidak cintakan negara ini. Mereka ‘money minded’. Kalau betul mereka cintakan negara ini, mereka tidak akan rosakkan negara,” katanya.

Sementara, Ahmad Razif, 27 pula memilih untuk menyerahkan semua keputusan rombakan itu kepada pihak yang berkaitan dan menanti keputusan siasatan berhubung 1MDB yang sedang berjalan.

“Isu yang melibatkan 1MDB itu sepatutnya diselesaikan secara dalaman dan tidak didedahkan kepada umum sangat tapi memandangkan dunia sekarang yang menggunakan teknologi yang pelbagai, jadi, maklumat dapat lebih cepat.

“Perkara ini dalam siasatan lagi, saya pun tak tahu nak komen positif atau negatif. Saya serahkan semua kepada Kabinet. Kita tunggulah kata putus selepas siasatan selesai nanti,” katanya.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.