Kemalangan libat 5 kenderaan

SEREMBAN – Seorang kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan maut selepas motosikal ditunggangi terlibat dalam kemalangan melibatkan lima kenderaan di Jalan Mantin, berhampiran lampu isyarat Lebuhraya Kajang – Seremban (Lekas), dekat sini, semalam.

Keadaan motosikal Hanisham yang dirempuh Honda City.

Keadaan motosikal Hanisham yang dirempuh Honda City.

Jurucakap polis berkata, dalam kejadian kira-kira 7.20 pagi itu, mangsa, Hanisham Kamarudin, 39, yang berasal dari Mantin Dalam, di sini sedang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss bersendirian.

“Siasatan awal mendapati, semasa insiden berlaku, difahamkan mangsa yang menghala ke Seremban sedang dalam perjalanan ke tempat kerja.

“Bagaimanapun, mangsa telah dirempuh oleh sebuah kenderaan jenis Honda City dipandu seorang lelaki berusia 20an yang dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan,” katanya kepada pemberita, di sini.

Menurutnya, impak perlanggaran yang berlaku secara berhadapan menyebabkan mangsa mendapat kecederaan serius di bahagian kepala berikutan tercampak dari motosikal dinaiki.

“Kita percaya, Honda City terbabit turut menjadi punca kemalangan beberapa minit sebelum itu membabitkan Proton Iswara, Toyota Vios dan sebuah motosikal jenis Honda Wave.

“Sebelum melanggar mangsa, Honda City berkenaan yang telah terbabas ke laluan bertentangan terlebih dahulu bergesel dengan Proton Iswara dipandu seorang lelaki berusia 30an. Kemudian, Proton Iswara itu pula merempuh Toyota Vios dari belakang,” katanya.

Tambah beliau, momentum pelanggaran diterima oleh Toyota Vios menyebabkan kereta sedang dipandu wanita berusia 28 tahun itu bergesel dengan motosikal Honda Wave di laluan sama lantas mendatangkan kecederaan kepada penunggangnya yang berumur sekitar 40an.

Katanya, dalam keadaan kelam-kabut itu, Honda City yang masih gagal balik ke laluan asal akhirnya merempuh Hanisham lantas mengakibatkan kematiannya.

“Sejurus kemalangan berlaku, pemandu Honda City terbabit bertindak melarikan diri walaupun dikejar beberapa anggota polis. Justeru, kita minta individu berkenaan supaya tampil ke hadapan untuk membantu siasatan.

“Jenazah mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), di sini  untuk bedah siasat, manakala dua pemandu kereta yang lain tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Beliau berkata, Hanisham yang bekerja sebagai pemandu di Jabatan Perhutanan meninggalkan seorang balu dan tiga anak berusia sekitar 1 hingga 5 tahun.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Zainal Abu mengesahkan menerima laporan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.