Kelantan tak halang aktiviti kebudayaan

KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan tidak menghalang kegiatan kebudayaan yang terdapat di negeri ini selagi tidak bertentangan dengan agama Islam.

Ahmad Yakob

Ahmad Yakob

Menteri Besarnya, Datuk Ahmad Yakob berkata, kegiatan kebudayaan seperti makyung dan wayang kulit boleh diteruskan sebagai produk pelancongan jika persembahan itu mempunyai unsur mendidik rakyat dan tidak bercanggah dengan ajaran Islam.

“Sebagai contoh wayang kulit, kita haramkan kerana mempunyai unsur-unsur syirik, khayal dan pemujaan, tetapi apabila diberi kaedah baharu yang boleh mendidik dan memberi pengajaran kepada rakyat, persembahan boleh diteruskan sebagai satu budaya di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014 di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa di sini, hari ini.

Sementara itu, Ahmad mahu semua pihak memberi perhatian terhadap aspek kebersihan yang mempengaruhi tarikan pelancongan ke negeri ini.

“Kita cuba ubah sikap dan pemikiran masyarakat dengan mengadakan kempen kebersihan selain meminta bantuan melalui agensi seperti pihak berkuasa tempatan untuk menambah bilangan lori sampah yang melibatkan kos RM6 juta,” katanya.

Ahmad berkata, hubungan yang baik dengan kerajaan persekutuan juga perlu untuk kebaikan rakyat dan bagi mencapai dasar kerajaan negeri iaitu membangun bersama Islam.

Sementara itu, Pengarah Tourism Malaysia Cawangan Kelantan Nur Aida Ismail berkata, sebanyak tiga produk pelancongan negeri ini akan menjadi tarikan utama pelancong pada tahun ini.

“Kita tekankan tiga produk pelancongan iaitu warisan yang terdapat di negeri ini, budaya dan membeli-belah. Semua produk ini sudah ada cuma kita perhebatkan lagi dengan mengadakan aktiviti serta membuat penambahbaikan,” katanya.

Beliau berkata,  pihaknya menyasarkan enam juta pelancong melawat Kelantan pada tahun ini. – Bernama

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.