Kedah pandang ke Jepun

ALOR SETAR – Kerajaan negeri akan menerokai kepakaran dan teknologi tinggi dari Wilayah Mie, Jepun, dalam usaha meningkatkan hasil tanaman padi di negeri ini selain meneroka potensi pelaburan dalam sektor berteknologi tinggi.

Mukhriz (kanan) berbincang dengan Suzuki dalam pertemuan yang berlangsung kira-kira sejam, baru-baru ini.

Mukhriz (kanan) berbincang dengan Suzuki dalam pertemuan yang berlangsung kira-kira sejam, baru-baru ini.

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, sebagai pengeluar padi terbesar di Jepun, kerjasama dan perkongsian bersama Wilayah Mie sangat relevan.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga berminat untuk belajar daripada pengalaman Wilayah terbabit dalam menarik minat pelabur dari wilayah-wilayah lain di negara itu.

“Kita berharap untuk membawa teknologi yang mereka ada dengan menarik pelabur dari Wilayah Mie ke Kedah.

“Ini kerana banyak teknologi canggih yang digunakan untuk sektor pertanian padi di sana berkaitan dengan sektor pertanian padi di sini,” katanya pada sidang media selepas menerima kunjungan hormat Gabenor Wilayah Mie, Eikei Suzuki dan delegasi Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (Jetro) di kediaman rasmi Menteri Besar, di Seri Mentaloon, di sini, baru-baru ini.

Mukhriz berkata, Kedah juga perlu memanfaatkan hubungan baik dengan Wilayah Mie serta peneraju industri di sana bagi pertimbangan supaya melabur di Kedah.

“Selain menjadi pengeluar padi terbesar di jepun, Wilayah Mie juga berada pada kedudukan keempat sebagai pengeluar automotif terbesar di Jepun.

“Mereka sangat terkenal dalam sektor pembuatan elektronik dan elektrik (E&E) berteknologi tinggi. Antaranya seperti Panasonic dan Toshiba. Kita berminat untuk mengetahui bagaimana mereka mengembangkan pelaburan khususnya dalam sektor teknologi tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, Mukhriz berkata, kedua-dua pihak juga bersetuju untuk menjalinkan kerjasama strategik dalam membangunkan industri kecil dan sederhana (IKS), pertukaran budaya dan pelancongan.

“Lawatan ini adalah tepat pada waktunya selepas ekonomi Jepun pulih di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Shinzo Abe.

“Saya adalah peminat beliau di mana beliau seorang pemimpin yang berfikiran di luar kotak.

“Jepun sememangnya menjalani banyak perubahan sedang berlaku. Jadi banyak kecenderungan daripada apa yang sedang berlaku di Jepun boleh memberi manfaat Kedah dan negara secara keseluruhannya kerana kita juga menjalani proses transformasi,” katanya.

Sementara itu, Suzuki berkata, rakyat Jepun yang terlibat dalam sektor pertanian pembuatan di kawasan luar bandar turut dapat merasakan pemulihan ekonomi yang berlaku di negara itu.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.