Kebahagiaan hilang sekelip mata

 

Izreen Azminda

Izreen Azminda

MENYUSULI Aku Isterinya di slot Akasia, TV3 mempersembahkan Kerana Terpaksa Aku Relakan terbitan Primeworks Studios bermula 21 Mei, setiap Isnin hingga Khamis jam 7 malam.

Drama bersiri ini merupakan adaptasi novelis popular iaitu Umie Nadzimah yang diarahkan oleh Azma Aizal Yusof dan nukilan skrip Mufid Shuhaimi.

Kerana Terpaksa Aku Relakan membariskan pelakon-pelakon handalan seperti Izreen Azminda (Indah Halina) di samping pelakon-pelakon popular tanah air seperti Amar Baharin (Tajul Razin/Zen), Dian P Ramlee (Datuk Safiyah), Syafik Kyle (Tajul Fahin), Eddy Asraf (Tajul Zahin), Aliza Shadan (Mak Mariah), Nadia Aqilah (Zawati), Hairi Safwan (Yazid), dan Afzan (Saiful).

Drama baharu 24 episod ini mengisahkan Indah Harlina yang telah dianiayai oleh ibu tiri dan kakak tirinya, Mak Mariah dan Zawati sehingga disisihkan oleh ayah kandungnya, Pak Halim.

Indah yang pulang ke kampung bersama-sama Zawati dan Yazid untuk melangsungkan perkahwinannya dengan Saiful, pilihan Pak Halim telah ditinggalkan secara sengaja di kawasan rehat.

Tanpa satu sen dan telefon bimbit di tangannya, Indah buntu dan mujur dia dibantu oleh Datuk Safiyah serta anaknya, Tajul Razin yang menemani ibunya walaupun berasa was-was dan menganggap Indah mahu mengambil kesempatan.

Tibanya di kampung, majlis perkahwinan telah selamat berlangsung dengan Zawati mengambil tempatnya sebagai pengantin. Indah pula dianggap sebagai anak derhaka dan memalukan keluarganya.

Mampukah Indah mengembalikan kebahagiaan selepas maruahnya dipermainkan oleh kakaknya sendiri?. Dan, tegakah dia memilih jejaka lain dalam hidupnya selepas perkahwinannya hancur sehari sebelum dia bernikah?.

Pengarahnya, Azma Aizal Yusof berkata, pelbagai perubahan dilakukan bagi memastikan setiap watak berlainan dengan novel adaptasi dengan judul sama.

“Beberapa watak dan jalan cerita diubah semula agar ia relevan dengan situasi semasa.

“Paling ketara watak Indah Harlina yang digambarkan sebagai gadis naif, baik hati dan gemar menangis kepada seorang yang berbeza,” katanya yang tetap mengekalkan jalan cerita agar dapat memberi kepuasan kepada penonton.

Gandingan terbaik Izreen-Amar

Pemilihan pelakon seperti Izreen Azminda dengan Amar Baharin dikatakan satu pilihan yang tepat untuk drama ini.Menurut Azma, dia yakin kedua-dua pelakon ini mampu menyerlahkan watak sebagai Indah dan Tajul dengan baik.

“Aspek paling penting untuk pelakon utama adalah keserasian dan bakat lakonan mereka.

“Nyata pilihan saya tepat kerana dilihat dari segi rating pada episod lima, drama ini menerima respons positif dari hari ke hari,” katanya.

Jelas Azma, dia percaya jika jujur dengan naskhah, maka drama tersebut akan menerima sambutan yang baik.

“Saya lakukan yang terbaik demi penonton dan sanggup berkejar ke sana ke mari untuk mendapat ‘feel’ yang sama dalam novel.

“Biarpun terpaksa mengambil masa agak panjang, namun saya percaya drama ini pasti mendapat sambutan hangat,” katanya yang menjalani penggambaran di Kuala Lumpur, Taiping, Pulau Pinang dan Bandung.

Tak tipu penonton

Bercerita mengenai cabaran, Azma berkata, dia sangat menitikberatkan kesesuaian lokasi penggambaran sepanjang menyiapkan drama tersebut.

Akuinya, demi kepuasan sendiri dia sanggup ‘terbang’ ke merata tempat agar suasana kehidupan di kampung dan bandar berbeza.

“Saya tidak mahu tipu penonton semata-mata ingin jimatkan kos. Sebaliknya, saya berlaku jujur dengan mereka.

“Jika novel menyatakan lokasi di Taiping maka kami ke sana untuk menggambarkan situasi yang berlaku dalam novel,” katanya.

Bagi babak di Bandung pula, Azma berkata, lokasi sebenar adalah di Thailand, namun situasi di sana tidak mengizinkan pihak produksi meneruskan hajat mereka.

“Sekarang ini Selatan Thailand sedang bergolak, saya tidak mahu sesiapa pun terkena tembakan atau berlaku kejadian tidak diingini sebab itulah saya memilih Indonesia sebagai lokasi gantian,” ujarnya.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.